Banjir: 1,493 mangsa masih berlindung di 10 PPS
KUALA LUMPUR – Hujan berterusan kesan daripada tiupan angin Monsun Timur Laut menyebabkan dua negeri iaitu Sabah dan Sarawak masih mengalami banjir dengan 1,493 mangsa masih ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS).
Berdasarkan maklumat terkini setakat pukul 10.39 pagi ini di laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Sabah kekal sebagai negeri paling terjejas apabila sembilan PPS masih beroperasi di daerah Beaufort, Tenom dan Kemabong sejak Jumaat lalu.
“Kesemua PPS berkenaan menempatkan seramai 1,288 mangsa daripada 507 keluarga yang terpaksa dipindahkan berikutan kediaman mereka dinaiki air.
“Di Sarawak, satu PPS masih dibuka di Miri bagi menempatkan 205 mangsa daripada 98 keluarga yang terjejas akibat banjir,” menurut sumber itu.
Secara keseluruhan, bencana banjir di dua negeri terbabit menjejaskan 1,493 mangsa daripada 605 keluarga, termasuk 508 kanak-kanak dan 39 bayi.
Orang ramai dinasihatkan berwaspada dan mematuhi arahan keselamatan dikeluarkan dari semasa ke semasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








