BERITA SEMASA

Platform media sosial perlu pantas tangani isu penyebaran gambar, video kemalangan

PUTRAJAYA – Platform media sosial digesa bertindak lebih pantas dalam menangani penyebaran gambar dan video berkenaan kemalangan di aplikasi mereka kerana kandungan sedemikian boleh menambah kesedihan keluarga mangsa serta berpotensi mengganggu siasatan.

Bagi menangani trend penyebaran kandungan sedemikian, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti usaha memperluaskan definisi kemudaratan dalam talian bagi merangkumi kandungan grafik atau berunsur ganas.

“Dari sudut komunikasi, khususnya melalui MCMC, kita mahu meluaskan dan memperkembangkan definisi kemudaratan dalam talian. Ini termasuk kandungan yang bersifat grafik seperti gambar kemalangan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Sidang Dialog Menteri dan Meja Bulat Media Mengenai Pelaporan Bunuh Diri yang Selamat dan Bertanggungjawab di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad.

Fahmi kemudiannya memberi contoh mengenai penyebaran rakaman kamera papan pemuka (dashcam) di media apabila terjadinya kemalanga.

“Pertama, bagi mangsa dan keluarga mereka, saya rasa ramai akan bersetuju bahawa kita perlu menghormati mereka. Kedua, terdapat aspek yang melibatkan siasatan,” katanya.

Beliau berkata platform media sosial perlu bekerjasama lebih rapat dengan pihak berkuasa dan segera mengambil tindakan bagi mengehadkan penyebaran kandungan sedemikian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button