BERITA SEMASA

Projek monorel Putrajaya tidak berdaya maju diteruskan – MOT

KUALA LUMPUR – Projek Monorel Putrajaya yang terbengkalai sejak tahun 2004 didapati tidak lagi berdaya maju untuk diteruskan berikutan keadaan infrastruktur rel sedia ada yang telah lama terbiar, termasuk terowong bawah tanah.

Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan, dapatan itu diperoleh menerusi Kajian Pengangkutan Awam di Putrajaya, Cyberjaya, Bangi dan Kajang yang turut menilai kebolehlaksanaan sistem monorel berkenaan, memetik laporan Bernama.

Menurut kementerian, projek itu memerlukan kajian lanjutan yang lebih terperinci, termasuk ujian integriti struktur bagi menentukan keadaan sebenar kemudahan yang telah lama terbengkalai.

Penjelasan tersebut diberikan menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Prof Emeritus Dr Mohammad Redzuan Othman mengenai perancangan kerajaan untuk menghidupkan semula projek monorel Putrajaya serta memperluaskan rangkaiannya bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Sebagai alternatif, MOT memaklumkan perkhidmatan pengangkutan awam di Putrajaya terus diperkukuhkan melalui operasi Bas Nadi Putra yang kini melibatkan tujuh laluan dengan 26 buah bas, mencatat purata 2,246 penumpang pada hari bekerja.

Selain itu, perkhidmatan bas perantara merangkumi dua laluan dengan lapan buah bas dan purata 1,173 penumpang sehari, manakala perkhidmatan Rapid On-Demand melibatkan tiga laluan menggunakan sembilan van dengan purata 315 penumpang pada hari bekerja.

Menurut MOT, penyediaan perkhidmatan-perkhidmatan tersebut bertujuan meningkatkan aksesibiliti serta ketersambungan pengangkutan awam di Putrajaya menerusi penyelesaian mobiliti yang lebih fleksibel dan menyeluruh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button