BERITA SEMASA

Amaran tsunami di Sabah ditamatkan, tiada kawasan terjejas

KUALA LUMPUR – Kawasan persisiran pantai di beberapa lokasi sekitar Sandakan, Sabah yang sebelum ini berada dalam pemantauan susulan amaran nasihat tsunami didapati berada dalam keadaan baik, selamat dan terkawal.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemantauan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melibatkan beberapa kawasan termasuk Taman Harmoni, Kampung Forest, Sim-Sim, Pusat Bandar Sandakan dan Pasir Putih.

Beliau berkata, hasil pemantauan di lapangan mendapati tiada sebarang kejadian luar biasa dilaporkan setakat ini.

“Saya mengambil maklum mengenai gegaran yang turut dirasai di beberapa kawasan di Sabah susulan gempa bumi kuat di Mindanao, Filipina, serta amaran awal tsunami yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Menurut beliau, amaran awal tsunami tersebut telah ditamatkan oleh MetMalaysia selepas penilaian risiko dibuat.

“Alhamdulillah, amaran tersebut kini telah ditamatkan. Namun, saya menyeru rakyat khususnya di Sabah agar terus berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau berita palsu yang boleh mencetuskan kebimbangan awam.

Ahmad Zahid turut menzahirkan rasa dukacita terhadap rakyat Filipina yang terjejas akibat gempa bumi kuat di wilayah Mindanao pada pagi tadi.

“Malaysia sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan diperlukan kepada negara jiran itu sebagai tanda solidariti dalam kalangan negara ASEAN.

“Sama-sama kita mendoakan agar semua mangsa dan keluarga yang terkesan diberikan kekuatan serta dipermudahkan urusan,” katanya lagi.

Terdahulu, MetMalaysia mengeluarkan amaran tsunami susulan gempa bumi bermagnitud 7.9 di Mindanao, Filipina pada jam 7.37 pagi.

Gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 50 kilometer dengan pusat gempa terletak kira-kira 747 kilometer ke timur Semporna, Sabah sebelum amaran tersebut ditamatkan sekitar tengah hari selepas situasi disahkan terkawal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button