MCMC arah tindakan segera atasi masalah liputan di Kampung Tinagat
TAWAU – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan tindakan segera diambil oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi meningkatkan kualiti liputan komunikasi di Kampung Tinagat, di sini susulan aduan berhubung perkhidmatan selular yang tidak memuaskan.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah mengadakan lawatan ke kawasan berkenaan baru-baru ini selepas menerima aduan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan serta penduduk setempat.
Lawatan itu turut disertai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tinagat bagi meninjau sendiri masalah yang dihadapi penduduk.

Menurut MCMC, sesi pengujian kualiti liputan dan prestasi perkhidmatan komunikasi telah dijalankan di tiga lokasi yang dikenal pasti bagi menilai tahap perkhidmatan diterima pengguna.
“Hasil ujian Wireless Broadband Access Service (WBAS) mendapati dua daripada tiga lokasi yang diuji tidak memenuhi standard mandatori yang ditetapkan oleh MCMC.
“Dapatan tersebut telah dimaklumkan kepada penyedia perkhidmatan yang terlibat pada 29 Mei lalu untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu hari ini.
Susulan penemuan tersebut, penyedia perkhidmatan berkenaan diberikan tempoh tujuh hari bekerja untuk mengemukakan maklum balas serta pelan tindakan bagi menangani isu yang dikenal pasti.
MCMC turut memaklumkan bahawa notis di bawah Seksyen 51(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan dikeluarkan kepada mana-mana penyedia perkhidmatan yang gagal memberikan maklum balas dalam tempoh ditetapkan.

Bagi memastikan penambahbaikan dapat dilaksanakan dengan segera, MCMC mengarahkan syarikat telekomunikasi terlibat mengambil langkah sewajarnya di kawasan berkenaan.
“CelcomDigi telah diarahkan melaksanakan usaha penambahbaikan liputan rangkaian serta mengemukakan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang, manakala Maxis diminta menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di tapak menara telekomunikasi Kampung Tinagat,” jelas MCMC.
MCMC berkata, pihaknya akan terus memantau pelaksanaan tindakan yang diambil oleh penyedia perkhidmatan bagi memastikan masalah yang dibangkitkan dapat diselesaikan dengan berkesan.
“Ia bagi memastikan penduduk Kampung Tinagat dapat menikmati perkhidmatan komunikasi yang lebih berkualiti,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








