BERITA SEMASA

MCMC terima anugerah tertinggi di peringkat global menerusi WSIS Prizes tahun kedua berturut-turut

CYBERJAYA – Malaysia terus mengukuhkan reputasinya di pentas antarabangsa apabila ASEAN 5G Skills Framework and Capacity Development Platform yang diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dinobatkan sebagai Winner Project bagi kategori WSIS Action Line C1: The Role of Governments and All Stakeholders in the Promotion of ICTs for Development sempena World Summit on the Information Society Prizes 2026.

Menurut MCMC, pengiktirafan itu sekali gus menandakan tahun kedua berturut-turut MCMC menerima anugerah tertinggi di peringkat global menerusi WSIS Prizes, selepas inisiatif Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) muncul sebagai Winner Project pada 2025.

Katanya, anugerah berkenaan disampaikan pada Majlis Anugerah WSIS Prizes 2026 yang berlangsung sempena WSIS Forum 2026 di Geneva.

“Forum berprestij itu menghimpunkan wakil kementerian serta pegawai kanan dari pelbagai negara, dengan edisi tahun ini merekodkan penyertaan 1,595 projek daripada 122 negara dan menerima lebih 2.2 juta undian di seluruh dunia.

“Sebelum ini, pada Jun lalu, tiga inisiatif MCMC iaitu ASEAN 5G Skills Framework and Capacity Development Platform, MCMC Five-Year Plan 2030 (FYP2030) dan portal Sebenarnya.my telah diumumkan sebagai Champion Projects dalam WSIS Prizes 2026.

“Status Winner Project pula merupakan pengiktirafan tertinggi bagi setiap kategori yang dipilih daripada senarai Champion Projects menerusi proses penilaian serta undian awam global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut MCMC, rangka kerja kemahiran 5G itu dibangunkan MCMC dengan kerjasama negara-negara anggota ASEAN, pemain industri dan pakar serantau bagi mewujudkan penanda aras pembangunan bakat digital yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Katanya, ia turut diperakukan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) di Hanoi pada Januari lalu.

“Rangka kerja tersebut mengenal pasti 50 peranan pekerjaan kritikal, 211 kompetensi merangkumi Power Skills dan Prime Skills, selain 12 jurang kemahiran utama dalam bidang seperti infrastruktur rangkaian, pengkomputeran awan, keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan data dan perkhidmatan digital,” katanya.

MCMC memaklumkan kejayaan itu mencerminkan hasil kerjasama erat negara-negara anggota ASEAN yang diselaraskan di bawah kepimpinan Kementerian Komunikasi melalui MCMC, sekali gus memperkukuh pembangunan ekosistem kemahiran digital di rantau ini.

“Menerusi program perintis pembangunan kapasiti yang dilaksanakan, seramai 252 peserta daripada kesemua 11 negara anggota ASEAN telah berjaya dilatih bagi memperkukuh kerjasama serantau serta melahirkan tenaga kerja yang bersedia mendepani perkembangan teknologi digital dan teknologi baharu,” katanya.

Menurut MCMC, pengiktirafan berkenaan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju transformasi digital yang inklusif di peringkat serantau dan global, selain mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa menerusi platform seperti International Telecommunication Union dan ASEAN.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button