IRC 2026: Robotik Malaysia perlukan ekosistem pembuatan, bukan sekadar pengguna teknologi
KUALA LUMPUR – Malaysia mempunyai keupayaan menghasilkan sistem pintar untuk menggerakkan robot, namun masih berdepan cabaran membangunkan perkakasan robotik sendiri bagi mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar.
Pensyarah Kanan Jabatan Kecerdasan Buatan, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaya, Dr Zati Hakim Azizul Hasan berkata, Malaysia tidak ketinggalan dari segi penggunaan teknologi robotik, malah ratusan robot sudah digunakan dalam pelbagai sektor industri termasuk pembuatan dan perubatan.
Bagaimanapun, katanya, kebanyakan perkakasan robotik masih diperoleh dari luar negara, manakala kekuatan Malaysia lebih tertumpu kepada pembangunan algoritma pintar, perisian dan sistem kecerdasan buatan (AI) yang menggerakkan robot.
“Dari segi penggunaan robot, kita tidak ada masalah. Kita sangat terbuka untuk menerima robot dan industri kita sudah menggunakan banyak sistem robotik.
“Tetapi dari segi menghasilkan robot sendiri, kita masih kurang kerana kita belum mempunyai permintaan penggunaan yang cukup besar untuk menghasilkan perkakasan pada kos yang kompetitif,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas dialog Regulating the Robotics Revolution – A Cross-Sector Imperative yang diadakan sempena anjuran Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di ibu negara hari ini.
Baca juga : Perlumbaan teknologi kuantum bermula, Malaysia perlu perkukuh penyelidikan
Menurut beliau, Malaysia mempunyai bakat yang mampu bersaing dalam pembangunan teknologi robotik, terutama dalam aspek perisian dan kecerdasan buatan.
Beliau memberi contoh penyertaan pelajar Malaysia dalam pertandingan robotik antarabangsa yang berjaya menduduki kelompok lapan terbaik dunia walaupun menggunakan perkakasan yang sama dengan pasukan lain.
“Apa yang membezakan pasukan adalah algoritma pintar yang dibangunkan. Perkakasan boleh dibeli, tetapi perkara yang tidak boleh dibekalkan oleh negara lain ialah ‘otak’ atau perisian yang dibangunkan mengikut keperluan Malaysia,” katanya.
Katanya, teknologi robotik tempatan boleh dikembangkan mengikut keperluan sektor seperti pertanian dan perubatan dengan menggabungkan perkakasan sedia ada bersama kepakaran tempatan.
Beliau berkata, pembangunan robotik memerlukan tenaga kerja pelbagai bidang termasuk sains komputer, matematik, kejuruteraan mekanikal, elektrik serta bidang lain kerana robot bukan sekadar mesin fizikal tetapi sistem yang memerlukan pemikiran dan penyelesaian masalah.
“Dalam pembangunan robotik, tidak ada satu bidang sahaja yang boleh menyelesaikan masalah. Kita perlukan gabungan pelbagai kepakaran,” katanya.
Mengulas mengenai kemunculan robot humanoid untuk kegunaan rumah seperti membantu kerja harian, Dr Zati berkata teknologi itu masih belum mampu menjadi barangan mampu milik seperti telefon pintar dalam tempoh terdekat.
Katanya, walaupun terdapat ramalan robot humanoid mampu dijual pada harga lebih rendah pada masa depan, kos perkakasan, bahan dan pembangunan teknologi masih menjadi cabaran besar.
“Saya tidak fikir dalam tempoh lima tahun Malaysia sudah bersedia untuk membeli robot seperti membeli telefon bimbit. Mungkin dalam tempoh 15 tahun ia berkemungkinan berlaku kerana teknologi akan menjadi semakin kecil dan murah,” katanya.
Menurut beliau, perkembangan teknologi lain seperti komputer kuantum juga berpotensi menjadi pemangkin kepada robotik masa depan apabila teknologi itu mampu menghasilkan cip lebih kecil tetapi mempunyai kemampuan pengiraan lebih tinggi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pembangunan bakat robotik tidak boleh hanya tertumpu kepada pelajar cemerlang di universiti, sebaliknya perlu diperluaskan kepada golongan muda termasuk komuniti luar bandar dan berpendapatan rendah.
Katanya, pendedahan awal melalui program komuniti yang membolehkan pelajar melihat, menyentuh dan mencuba teknologi robotik mampu mengubah persepsi mereka terhadap bidang berkenaan.
“Kita perlu mudahkan ekosistem itu. Apabila mereka boleh pegang dan bermain dengan robot, mereka mula nampak teknologi itu sesuatu yang boleh dicapai,” katanya.
Beliau berkata, asas seperti matematik, pengaturcaraan dan sains komputer penting untuk membina generasi robotik masa depan, namun perkara paling utama ialah membentuk sikap berani mencuba dan tidak takut gagal.
“Pembangunan robot tidak akan berjaya tanpa kegagalan. Kita perlu bina generasi yang mempunyai daya tahan kerana dalam membangunkan robot, banyak perkara akan tersilap sebelum berjaya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















