BERITA SEMASAPOLITIK

Pemecatan Hamzah bukti Muhyiddin tertekan, takut – Saifuddin

KUALA LUMPUR – Tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memecat Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, disifatkan sebagai langkah drastik yang mencerminkan keresahan kepimpinan tertinggi parti itu.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, keputusan tersebut memberi gambaran Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berada dalam keadaan tertekan terhadap pengaruh yang dimiliki Hamzah dalam parti.

Menurut beliau, pemecatan itu yang dibuat selepas 16 Ahli Parlimen mendesak Muhyiddin berundur, menimbulkan persoalan besar mengenai motif sebenar tindakan berkenaan.

“Langkah ini memperlihatkan seolah-olah wujud kebimbangan terhadap sokongan yang semakin berpihak kepada Hamzah,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Saifuddin berpandangan, sekiranya Muhyiddin benar-benar memiliki sokongan kukuh di peringkat akar umbi, tindakan radikal seperti itu tidak perlu diambil.

Beliau menegaskan, sebuah parti politik yang matang seharusnya diurus dengan pendekatan terbuka dan berprinsip, bukan didorong sentimen takut kehilangan kuasa.

“Jika kepimpinan masih utuh dan diyakini, tidak timbul keperluan untuk bertindak tergesa-gesa menyingkirkan pencabar. Parti yang matang tidak dipimpin oleh ketakutan atau obsesi mempertahankan jawatan,” ujarnya.

Tambah beliau, episod tersebut mencerminkan sisi kepimpinan yang lemah dan tidak stabil dalam menghadapi cabaran dalaman.

Setakat semalam, seramai 17 pemimpin BERSATU dipecat keahlian mereka oleh Lembaga Disiplin parti itu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin BERSATU, Datuk Mohd Radzi Manan, kepada Presiden parti menerusi satu notis bertajuk ‘Makluman Keputusan Lembaga Disiplin Terhadap Laporan Pelanggaran Perlembagaan’.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button