LUAR NEGARA

Trump hantar kapal pengangkut pesawat kedua ke Timur Tengah

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump meningkatkan tekanan terhadap Iran apabila mengumumkan penghantaran kumpulan kapal pengangkut pesawat kedua ke Timur Tengah sebagai amaran keras berhubung program nuklear negara itu.

Trump semalam memberi bayangan bahawa kegagalan mencapai persetujuan dalam rundingan nuklear akan membawa implikasi besar kepada Tehran.

“Ia akan menjadi hari yang buruk bagi Iran sekiranya kita tidak mencapai kesepakatan,” katanya kepada wartawan di Rumah Putih.

Beliau mengulas laporan mengenai pemindahan kapal pengangkut pesawat USS Gerald R. Ford dari Caribbean ke Timur Tengah yang dijangka berlepas dalam masa terdekat.

Menurut Trump, Amerika Syarikat sudah memiliki kekuatan ketenteraan yang besar di rantau itu dan bersedia untuk bertindak sekiranya keadaan memerlukan.

Sebelum ini, beliau turut mengarahkan penghantaran USS Abraham Lincoln ke Timur Tengah sebagai sebahagian daripada penempatan 12 kapal Tentera Laut AS di kawasan berkenaan.

Walaupun meningkatkan tekanan ketenteraan, Trump menyatakan keyakinan bahawa rundingan dengan Iran masih berpotensi membuahkan hasil.

Namun, beliau menegaskan kegagalan mencapai persetujuan akan membawa kesan yang amat buruk kepada republik Islam tersebut.

Ketegangan antara kedua-dua negara memuncak susulan tindakan keras pasukan keselamatan Iran terhadap protes bulan lalu yang didakwa mengorbankan ribuan nyawa dan menyebabkan puluhan ribu individu ditahan.

Dalam perkembangan berkaitan, putera Shah Iran yang kini menetap di AS, Reza Pahlavi menggesa rakyat Iran melaungkan slogan antikerajaan sempena demonstrasi yang dirancang di luar negara.

Isu program nuklear Iran terus menjadi kebimbangan Barat yang mendakwa ia berpotensi menghasilkan senjata nuklear, dakwaan yang dinafikan secara konsisten oleh Tehran.

Ketua badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Rafael Grossi pula menyifatkan usaha mencapai persetujuan berkaitan pemeriksaan kemudahan nuklear Iran sebagai amat sukar.

Minggu lalu, Iran dan AS mengadakan rundingan mengenai isu tersebut di Oman, namun setakat ini tiada tarikh baharu ditetapkan bagi perbincangan susulan.

Ketegangan berterusan itu dilaporkan menyaksikan 7,005 individu terbunuh, kebanyakannya penunjuk perasaan, manakala lebih 53,000 lagi ditahan dalam tindakan keras pasukan keselamatan Iran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button