Takut dipecat, Trump rayu sokongan Republikan
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memberi amaran kepada Parti Republikan supaya memastikan kemenangannya dalam pilihan raya pertengahan penggal Kongres 2026.
Trump berkata, kegagalan mempertahankan penguasaan parti itu akan membuka ruang kepada Demokrat untuk memulakan proses pemecatan terhadapnya.
Trump menyuarakan kebimbangan itu dalam satu pertemuan tertutup bersama ahli perundangan Republikan di sini, sambil menegaskan kemenangan pada pilihan raya November depan amat penting bagi melindungi pentadbirannya.
“Kamu semua mesti menang pilihan raya pertengahan penggal. Jika kita kalah, mereka akan mencari alasan untuk memecat saya,” katanya.
Menjelang pilihan raya yang dijangka menjadi penentu hala tuju agenda pentadbirannya, Trump menggesa sekutunya yang kini hanya menguasai Dewan Perwakilan dengan majoriti tipis supaya mengetepikan perbezaan dalaman dan memberi tumpuan kepada kempen.
Beliau turut menggesa Republikan memperhebat usaha mempromosikan dasar kerajaan berkaitan isu gender, penjagaan kesihatan dan integriti pilihan raya, khususnya kepada pengundi yang semakin tertekan dengan kos sara hidup.
“Mereka sering berkata apabila seseorang menang jawatan Presiden, parti itu akan kalah dalam pilihan raya pertengahan penggal. Saya ingin tahu apa sebenarnya yang bermain dalam pemikiran rakyat,” katanya lagi.
Trump yang baru selesai melancarkan operasi ketenteraan berprofil tinggi melibatkan pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro, kini berdepan desakan supaya memberi tumpuan kepada isu domestik, terutama inflasi dan kenaikan harga.
Bagaimanapun, isu kos sara hidup hanya disentuh secara ringkas apabila beliau menyifatkannya sebagai legasi pentadbiran Demokrat, sambil menggesa Republikan berkempen berasaskan prestasi kukuh pasaran saham Amerika Syarikat.
Dalam ucapannya itu, Trump turut menyentuh secara sepintas lalu insiden serangan ke atas Bangunan Capitol pada 6 Januari 2021, ketika Demokrat di Kongres memperingati ulang tahun kelima kejadian berkenaan dengan mendakwa Republikan cuba memesongkan fakta sejarah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







