Suspek kes tembak Charlie Kirk ditahan, motif masih disiasat
UTAH – Pihak berkuasa Amerika Syarikat mengesahkan seorang suspek telah ditahan berhubung kes tembakan yang meragut nyawa aktivis konservatif terkenal, Charlie Kirk, ketika beliau menghadiri acara di Universiti Utah Valley.
Charlie Kirk, 31, pengasas bersama organisasi Turning Point USA, ditembak di bahagian leher ketika sedang berucap dalam program bertema “The American Comeback Tour”.
Rakaman video yang tersebar menunjukkan beliau rebah selepas terkena tembakan sebelum dibantu pasukan keselamatan peribadi.
Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Kash Patel, menerusi kenyataan di media sosial, memaklumkan individu yang dipercayai bertanggungjawab kini berada dalam tahanan pihak berkuasa tempatan.
“Terima kasih kepada pihak berkuasa negeri dan tempatan di Utah atas kerjasama mereka dengan FBI. Insiden ini masih dalam siasatan dan maklumat lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Kematian Kirk menggemparkan penyokong gerakan konservatif di seluruh negara.
Bekas Presiden Donald Trump menyifatkan beliau sebagai seorang tokoh muda “hebat dan legenda” yang banyak memberi inspirasi kepada generasi muda Amerika.
Naib Presiden, JD Vance turut menzahirkan rasa sedih dan menyeru rakyat mendoakan keluarga mendiang.
Sebagai tanda penghormatan, Trump mengarahkan semua bangunan kerajaan mengibarkan bendera separuh tiang sehingga Ahad ini.
Sehingga kini, pihak berkuasa masih merahsiakan identiti suspek.
Polis dan FBI sedang meneliti rakaman video serta mengumpul bukti forensik bagi menentukan motif serangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








