Kemalangan pesawat Air Canada: Dua pengawal trafik udara pulang kerja awal dipecat
NEW YORK – Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) memecat dua pengawal trafik udara Lapangan Terbang LaGuardia yang meninggalkan tugas lebih awal pada malam nahas pesawat Air Canada dan trak bomba, Mac lalu.
Tindakan itu diambil selepas siasatan mendapati kedua-dua pengawal terbabit meninggalkan tempat kerja kira-kira sejam sebelum syif mereka berakhir dan kira-kira sejam sebelum nahas berlaku.
Menurut laporan media antarabangsa, kedua-duanya dipercayai sepatutnya masih bertugas ketika pesawat Air Canada Express bertembung dengan trak bomba di landasan pada 22 Mac lalu, yang mengorbankan dua juruterbang.
FAA menganggap tindakan meninggalkan tugas lebih awal itu sebagai pelanggaran serius, termasuk isu berkaitan rekod waktu bekerja.
Tindakan tersebut turut menjadi sebahagian daripada usaha lebih luas agensi berkenaan membanteras amalan meninggalkan syif lebih awal atau penyalahgunaan cuti sakit dalam kalangan pengawal trafik udara.
FAA dalam kenyataannya menegaskan pihaknya komited memastikan setiap kakitangan bertanggungjawab terhadap tugas masing-masing dan tidak akan berkompromi terhadap aspek keselamatan serta kecekapan sistem ruang udara negara itu.
Kes berkenaan kembali mendapat perhatian selepas laporan terbaharu mendedahkan bahawa hanya dua pengawal berada di menara kawalan ketika nahas berlaku, dengan salah seorang mengendalikan dua tugasan manakala seorang lagi menguruskan kecemasan lain.
Dalam kejadian itu, pesawat Air Canada Express bertembung dengan sebuah trak bomba yang sedang melintasi landasan. Dua juruterbang maut, manakala puluhan individu lain turut dibawa ke hospital.
Bagaimanapun, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB) masih menjalankan siasatan dan belum membuat kesimpulan bahawa kekurangan kakitangan di menara kawalan menjadi punca nahas.
Kesatuan pengawal trafik udara Amerika Syarikat pula mengesahkan pihaknya sedang berbincang dengan FAA berhubung dakwaan terhadap kedua-dua kakitangan terbabit.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








