‘Tiada kualiti penuhi kriteria seorang Ahli Parlimen, rugi nanti’ – kata ADUN Duyong
MELAKA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Noor Helmy Abdul Haleem mengakui belum mengetahui sama ada beliau akan bertanding pada pilihan raya akan datang, termasuk kemungkinan berpindah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau bertanding di kerusi Parlimen.
Beliau berkata, keputusan berhubung perkara itu bergantung kepada pengumuman dan keputusan parti, selain mandat sebenar tetap berada di tangan rakyat.
“Pertama, akan datang ini saya bertanding atau tidak pun saya tak tahu. Sebab belum ada pengumuman lagi.
“Kedua, saya dipilih atau tidak pun saya pun tidak tahu. Hari ini mungkin saya rasa saya terkenal, tetapi ia bukan jaminan. Akhirnya rakyat yang memilih,” katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan bertanding di kawasan lain.
Menurut beliau, sekiranya parti membuat keputusan untuk meletakkan beliau di kawasan lain, beliau tidak mahu membuat sebarang andaian atau keputusan lebih awal.
Katanya, beliau sudah menyatakan pendirian kepada parti bahawa sekiranya masih diberikan kepercayaan, beliau lebih memilih untuk terus berkhidmat di Duyong.
“Saya memilih Duyong. Bukan sebab ada benda yang belum dilaksanakan, tetapi berbeza jika kita bekerja di tempat kita dibesarkan.
“Rata-rata saya kenal, sentimen itu tak sama. Kalau saya dipindahkan ke tempat lain, saya kena belajar banyak perkara baharu. Saya kena mulakan balik daripada kosong. Itu satu cabaran,” katanya.
Mengulas kemungkinan diberi peluang bertanding di kerusi Parlimen, beliau berkata, peranan Ahli Parlimen lebih banyak berkaitan dasar, berbanding ADUN yang lebih dekat dengan khidmat bakti kepada masyarakat.
“Parlimen ini lebih banyak melibatkan dasar. DUN ini khidmat bakti dan budi.
“Saya ini bila melibatkan dasar, duduk atas buat kerja kertas, buat kajian itu ini, kurang sedikitlah,” katanya.
Beliau pada masa sama menegaskan akan akur dengan apa sahaja keputusan yang dibuat parti.
Bagaimanapun, beliau secara terbuka mengakui tidak melihat dirinya mempunyai kualiti yang memenuhi kriteria untuk menjadi Ahli Parlimen.
“Saya akur dengan apa sahaja keputusan parti. Tapi saya tahu saya dekat mana.
“Saya tiada kualiti yang memenuhi kriteria seorang Ahli Parlimen. Rugi nanti. Lebih baik beri peluang kepada orang yang lebih berkemampuan untuk mengisi,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








