400 pelajar sertai Fenomena PKSK Merdeka, isi Hari Kebangsaan dengan ilmu
KUALA LUMPUR – Seramai 400 pelajar Tahun Lima dan Tahun Enam dari seluruh negara memilih cara tersendiri mengisi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini dengan menyertai Fenomena PKSK Merdeka 2026 di Universiti Malaya (UM).
Bengkel persediaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) selama dua hari itu dianjurkan Fly High Education Centre (Fly High) dan merupakan penganjuran kali keenam sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Peserta terdiri daripada pelajar dari beberapa negeri termasuk Sarawak, Kelantan, Terengganu, Perak dan Johor yang menyasarkan kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) serta sekolah khusus lain.
Bersempena sambutan Hari Kebangsaan, peserta turut digalakkan mengenakan pakaian bertemakan kemerdekaan atau pakaian seragam kegiatan kokurikulum seperti Pengakap, Puteri Islam dan Kadet Remaja Sekolah.
Mereka juga bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu Negaraku sebagai sebahagian daripada usaha menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.
Pengasas Fly High Education Centre, Hajjah Wan Rafidah Wan Ali berkata, pendekatan itu penting bagi memupuk semangat cinta akan negara sejak di bangku sekolah.
“Kita memang menyambut Hari Kebangsaan bersama anak-anak, bersama menyanyikan lagu Negaraku supaya kita dapat menyemarakkan semangat cinta akan negara yang kadang-kadang kita lihat semakin kurang dalam kalangan anak-anak zaman sekarang,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Menurut beliau, pendidikan juga menjadi sebahagian daripada usaha mengisi kemerdekaan kerana generasi muda perlu diberikan peluang membina ilmu, keyakinan dan menentukan hala tuju masing-masing.
Beliau berkata, berdasarkan pengalaman Fly High, kira-kira 70 hingga 80 peratus pelajar yang mengikuti kelas secara konsisten berjaya mencapai sasaran mereka.
Katanya, perkara itu menunjukkan kepentingan persediaan berterusan dalam membantu pelajar menghadapi proses pemilihan ke sekolah khusus.
Program berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Anggrek Adenan, 9, anak kepada penyanyi terkenal, Adira Suhaimi, sebagai penampilan khas.
Anggrek yang muncul sebagai juara Program Talk To My Manager (TTMM) musim kedua turut menerima Sijil Penghargaan Keistimewaan Pendidikan GenFly selepas dipilih sebagai Study Buddy GenFly.
Pemilihan itu membolehkan Anggrek menerima akses kepada pendidikan tambahan tajaan Fly High sehingga berusia 12 tahun.
Dalam pada itu, segmen menulis surat kepada ibu yang dikendalikan penceramah motivasi, Nazira Nazir, turut menarik perhatian apabila peserta diberi ruang meluahkan penghargaan kepada ibu masing-masing.
Antara peserta yang sanggup merentas negeri menyertai bengkel itu ialah dua sepupu dari Kelantan, Muhammad Rifqi Sufi Rashid, 12, dan Muhammad Al Fatih Mohmaed Rosli.
Kedua-duanya membuat persediaan sejak April lalu menerusi pembelajaran dan kelas tuisyen di rumah.
Bagi Muhammad Rifqi Sufi, perjalanan jauh dari Kelantan tidak mematahkan semangatnya untuk menyertai bengkel berkenaan kerana mahu menambah persediaan bagi merealisasikan impian melanjutkan pelajaran ke sekolah pilihan.
Muhammad Al Fatih pula berkata, dia mahu memanfaatkan peluang yang ada untuk memperkukuh persediaan akademik selain menyimpan cita-cita untuk menjadi pegawai bomba.
“Sanggup datang jauh sebab kami memang bersemangat nak belajar dan buat persediaan dengan lebih baik. Kami harap usaha ini dapat membantu kami mencapai cita-cita,” katanya.
Wan Rafidah berharap semua peserta dapat merealisasikan impian melanjutkan pelajaran ke sekolah pilihan masing-masing termasuk SBP, SBPI, MRSM Ulul Albab, MRSM Bitara dan SMKA terpilih.
Fenomena PKSK Merdeka 2026 turut disusuli sesi motivasi dan pembelajaran bersama tenaga pengajar Fly High bagi meningkatkan keyakinan serta kesediaan pelajar sebelum menghadapi PKSK yang dijadualkan bermula 7 Oktober depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








