Perubahan bil elektrik bukan semata-mata berpunca daripada AFA, penggunaan elektrik turut beri kesan bil bulanan – TNB
KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjelaskan mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) diperkenalkan bagi memastikan perubahan kos bahan api dan kadar tukaran asing dikongsi secara telus dan adil antara pengguna serta industri tenaga.
Menurut TNB, AFA mula dilaksanakan pada 1 Julai 2025 susulan penstrukturan tarif elektrik sebagai pengganti mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT).
TNB menegaskan AFA bukan caj tambahan baharu dan tidak menjadi sumber keuntungan kepada syarikat, sebaliknya berfungsi sebagai mekanisme dua hala yang membolehkan pengguna menikmati rebat apabila kos bahan api menurun, manakala peningkatan kos diselaraskan melalui surcaj.
“Bagi pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 600 kilowatt-jam (kWj) atau kurang sebulan, mereka dilindungi sepenuhnya daripada caj AFA sama ada dalam bentuk rebat atau surcaj.
“Golongan itu turut dikecualikan daripada cukai perkhidmatan lapan peratus serta Caj Peruncitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Malah, TNB berkata, pengguna dalam kategori berkenaan membayar kira-kira dua hingga 14 peratus lebih rendah berbanding tarif terdahulu, bergantung kepada tahap penggunaan.
Menurut TNB, pengguna turut menikmati rebat AFA selama sembilan bulan berturut-turut dari Ogos 2025 hingga April 2026 ketika kos bahan api global berada pada paras lebih rendah.
Bagaimanapun, surcaj AFA mula dikenakan pada Mei 2026 susulan peningkatan kos penjanaan elektrik akibat krisis di Asia Barat.
Secara keseluruhan sejak AFA diperkenalkan, pengguna menerima manfaat lebih besar menerusi RM3.1 bilion rebat AFA, berbanding RM800 juta surcaj AFA.
Pada masa sama katanya, kerajaan turut menyalurkan tambahan RM435 juta melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) bagi mengurangkan impak surcaj AFA kepada pengguna.
“Bagi September 2026, kadar AFA ditetapkan pada +3.67 sen bagi setiap kWj dan maklumat berkenaan dikemas kini setiap bulan menerusi portal rasmi myTNB selepas pengesahan Suruhanjaya Tenaga,” katanya.
TNB turut menjelaskan bahawa perubahan bil elektrik bukan semata-mata berpunca daripada AFA, sebaliknya pola penggunaan elektrik turut memberi kesan terhadap jumlah bil bulanan.
“Antara faktor yang boleh meningkatkan penggunaan termasuk musim perayaan, cuti sekolah dan peningkatan aktiviti bekerja dari rumah,” katanya.
Dalam pada itu, TNB menggalakkan pengguna mengambil beberapa langkah bagi mengurangkan penggunaan elektrik, termasuk memantau penggunaan menerusi aplikasi myTNB, menetapkan penyaman udara pada suhu 24 hingga 26 darjah Celsius dan menggunakan peralatan elektrik berpenarafan empat atau lima bintang.
Pengguna juga disaran mempertimbangkan skim Time of Use (TOU) dengan menggunakan tenaga pada waktu luar puncak, iaitu antara 10 malam hingga 2 petang pada Isnin hingga Jumaat serta sepanjang hari pada Sabtu, Ahad dan cuti umum.
Selain itu, pengguna boleh mempertimbangkan pemasangan solar bumbung menerusi inisiatif Solar ATAP dan SuRIA Home yang menawarkan rebat sehingga RM3,000 bagi sistem 5kWac, dengan tempoh pulangan modal sekitar lapan tahun.
TNB berkata pihaknya kekal komited memastikan setiap bil elektrik yang dibayar pengguna mencerminkan kos sebenar, selain memastikan pengguna domestik dengan penggunaan 600kWj ke bawah terus mendapat perlindungan.
Sebarang pertanyaan berkaitan AFA atau bil elektrik boleh diajukan kepada TNB CareLine di talian 1300-88-5454, Facebook TNB Careline, akaun X @Tenaga_Nasional atau melalui e-mel CareLine@mytnb.my.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








