Letupan bunga api di pesta keagamaan Mexico ragut 10 nyawa
MEXICO CITY – Sekurang-kurangnya 10 orang maut manakala 64 lagi cedera selepas mercun dan bunga api meletup ketika sambutan pesta keagamaan di Santa María Canchesdá, Temascalcingo, Mexico, malam Sabtu.
Letupan berlaku berhampiran Gereja Nuestra Señora de la Luz ketika ratusan penduduk berkumpul bagi sambutan pesta Lady of Light.
Menurut laporan berita antarabangsa, bahan piroteknik yang disimpan di sebuah ruang berhampiran gereja meletup sehingga menyebabkan sebahagian struktur bangunan itu runtuh.
Pasukan penyelamat termasuk anggota bomba, perlindungan awam dan polis negeri dikerahkan ke lokasi untuk mencari mangsa di bawah runtuhan dan membawa mangsa yang cedera ke hospital berhampiran.
Antara yang cedera termasuk dua paderi, selain beberapa orang kanak-kanak dan warga emas.
Rakaman dari lokasi menunjukkan serpihan bangunan bertaburan di sekitar kawasan kejadian, manakala penduduk dan anggota penyelamat bertungkus-lumus membantu mangsa selepas letupan.
Punca sebenar letupan masih dalam siasatan pihak berkuasa Mexico.
Kejadian itu turut mencetuskan kebimbangan mengenai aspek keselamatan penyimpanan dan penggunaan bahan piroteknik yang lazim digunakan dalam sambutan keagamaan dan perayaan masyarakat di Mexico.
Pihak berkuasa memberi amaran bahawa angka korban dan kecederaan mungkin berubah selepas operasi mencari serta penilaian mangsa selesai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








