Roket New Glenn musnah ketika ujian enjin
FLORIDA – Roket tanpa kru, New Glenn meletup di tapak pelancarannya ketika menjalani ujian enjin, semalam.
Insiden itu sekali gus menjadi tamparan besar kepada syarikat syarikat angkasa lepas, Blue Origin milik jutawan Jeff Bezos.
Reuters yang memetik kenyataan pihak berkuasa berkata, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam insiden berkenaan.
Roket itu dilaporkan mula menyala di tapak pelancaran sekitar 9.00 malam waktu tempatan sebelum meletup lalu menghasilkan bebola api besar.
Blue Origin dalam kenyataan di platform X memaklumkan, ujian tersebut berdepan dengan “anomali”, istilah yang lazim digunakan syarikat roket bagi menggambarkan kegagalan pelancaran atau letupan.
“Kami mengalami anomali semasa ujian hot-fire hari ini. Semua kakitangan bagaimanapun selamat dan kami akan memberikan perkembangan lanjut sebaik memperoleh maklumat tambahan,” kata kenyataan itu.
Ujian hot-fire merujuk kepada proses menghidupkan enjin roket ketika ia masih berada dan diikat di tapak pelancaran.
Pentadbir NASA, Jared Isaacman berkata, agensi tersebut maklum mengenai insiden berkenaan.
Awal minggu ini, NASA menganugerahkan kontrak bernilai US$188 juta (RM745 juta) kepada Blue Origin bagi menghantar rover ke permukaan bulan menggunakan pendarat kargo tanpa kru, Mark 1 sebagai sebahagian daripada misi penerokaan bulan Artemis.
Jeff Bezos menerusi hantaran di X berkata masih terlalu awal untuk mengetahui punca sebenar insiden itu.
“Hari yang amat sukar, namun kami akan membina semula apa yang perlu dan kembali meneruskan penerbangan. Ia berbaloi,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








