BERITA SEMASALUAR NEGARA

AS tawar ganjaran RM44 juta buru ketua kartel dadah Mexico

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) menawarkan ganjaran sehingga AS$10 juta (RM44.3 juta) bagi maklumat yang membawa kepada penangkapan ketua kumpulan pengedaran dadah Mexico, Carteles Unidos (United Cartels), Juan Jose Farias Alvarez.

Farias Alvarez, yang lebih dikenali sebagai ‘El Abuelo’ atau datuk, merupakan salah seorang daripada lima anggota kanan kumpulan berkenaan yang kini berdepan pertuduhan jenayah seperti yang diumumkan oleh Jabatan Kehakiman AS.

Peguam Negara AS, Pamela Bondi dalam kenyataan berkata, pertuduhan itu merupakan sebahagian daripada strategi untuk melemahkan United Cartels serta membawa pemimpinnya ke muka pengadilan atas kemusnahan dan kematian yang ditimbulkan kepada rakyat negara itu.

Selaras dengan tindakan tersebut, Jabatan Perbendaharaan AS turut mengenakan sekatan terhadap anggota kumpulan dadah itu serta kumpulan Los Viagras.

Sementara itu, Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent menegaskan pihaknya akan terus mengekang setiap usaha kartel dalam menjana pendapatan menerusi kegiatan jenayah ganas.

Pada Februari lalu, Jabatan Negara AS telah menyenaraikan United Cartels bersama beberapa kumpulan pengedaran dadah lain sebagai organisasi pengganas asing.

Selain Farias Alvarez, AS turut menawarkan ganjaran AS$5 juta (RM22.15 juta) masing-masing bagi penangkapan Nicolas Sierra Santana (El Gordo) dan Alfonso Fernandez Magallon (Poncho).

Sementara itu, AS$3 juta (kira-kira RM13.29 juta) ditawarkan bagi maklumat mengenai Luis Enrique Barragan Chavez (Wicho) dan Edgar Orozco Cabadas (El Kamoni).

Menurut Jabatan Kehakiman AS, United Cartels dikenal pasti sebagai pembekal utama methamphetamine, fentanyl dan kokain ke negara itu.

“Keuntungan hasil jualan dadah di AS digunakan untuk membeli senjata berat, menggaji tentera upahan, merasuah pegawai tempatan dan membiayai kehidupan mewah pemimpin kartel,” katanya lapor AFP.

Pengumuman ganjaran tersebut dibuat hanya dua hari selepas Mexico memindahkan 26 individu dikehendaki ke AS, termasuk anggota kanan Kartel Jalisco Generasi Baharu dan Kartel Sinaloa.

Pemindahan terbaharu itu merupakan yang kedua sejak Presiden Donald Trump kembali ke Rumah Putih pada Januari lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button