AS lulus pakej senjata bernilai hampir RM45 bilion kepada Taiwan
TAIPEI – Amerika Syarikat (AS) meluluskan penjualan senjata bernilai AS$11.1 bilion (RM44.9 bilion) kepada Taiwan, sekali gus menjadikan ia pakej terbesar pernah diluluskan kepada pulau itu bagi memperkukuh keupayaan pertahanannya.
Menurut Kementerian Pertahanan Taiwan, kelulusan tersebut dibuat oleh kerajaan AS pada 17 Disember dan kini memasuki peringkat notifikasi kepada Kongres sebelum dimuktamadkan.
“Pakej berkenaan merangkumi lapan kategori peralatan ketenteraan yang bertujuan meningkatkan daya cegah serta kesiapsiagaan pertahanan Taiwan.
“AS berlandaskan Akta Hubungan Taiwan dan Enam Jaminan, terus membantu Taiwan mengekalkan keupayaan mempertahankan diri yang mencukupi serta membina daya cegah yang kukuh,” katanya lapor Reuters.
Antara peralatan yang terlibat ialah sistem roket mobiliti tinggi HIMARS, meriam automatik M109A7, peluru berpandu antikereta kebal TOW, sistem dron Altius, sokongan penyelenggaraan misil Harpoon, serta alat
ganti dan pembaikan helikopter AH-1W.
Menurut kementerian itu lagi, perolehan tersebut berada bawah bajet khas bagi memperkukuh daya tahan pertahanan dan strategi peperangan tidak simetri Taiwan.
Sementara itu, Pejabat Presiden Taiwan menyifatkan, kelulusan berkenaan sebagai bukti kerjasama keselamatan yang kukuh antara Taipei dan Washington.
Jurucakap Pejabat Presiden, Karen Kuo menegaskan Taiwan komited untuk terus mempertingkat keupayaan pertahanannya bagi menjamin keselamatan negara serta mengekalkan kestabilan serantau.
Menurutnya, Taiwan akan meneruskan usaha pembaharuan pertahanan, meningkatkan daya tahan menyeluruh masyarakat dan mempertahankan keamanan melalui kekuatan pertahanan.
Dalam pada itu, Kementerian Luar China menyuarakan bantahan terhadap penjualan senjata berkenaan dengan mendakwa ia boleh menjejaskan keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan.
China berpegang kepada pendirian bahawa Taiwan adalah sebahagian daripada wilayahnya, namun dakwaan tersebut tidak diiktiraf oleh Taipei.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








