BEMYEIT 2026: Bakat muda kejuruteraan tampil 29 inovasi berteraskan AI, kelestarian
KUALA LUMPUR – Sebanyak 29 inovasi hasil idea pelajar dan graduan baharu dari universiti awam serta swasta seluruh negara, yang mengetengahkan penggunaan kecerdasan buatan (AI), bahan kitar semula dan tenaga solar, dipamerkan dalam BEM Young Engineering Innovation Trophy 2026 (BEMYEIT 2026), di ibu negara baru-baru ini.
Menurut penganjur, Lembaga Jurutera Malaysia (LJM), BEMYEIT 2026 menjadi platform kepada bakat muda kejuruteraan untuk mengaplikasikan ilmu dan kemahiran mereka melangkaui bilik kuliah.
“Inovasi terbabit merangkumi bidang teknologi kesihatan, pembinaan lestari dan tenaga boleh baharu, sekali gus menunjukkan bagaimana ilmu kejuruteraan boleh diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang memberi manfaat melangkaui penilaian akademik.
“Aspek kelestarian turut menjadi antara pertimbangan utama dalam penilaian dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dijadikan elemen penting dalam kriteria pengadilan,” kata LJM dalam kenyataan.
Dalam pada itu, LJM memaklumkan tiga projek muncul sebagai pemenang utama menerusi penyelesaian dalam bidang teknologi kesihatan, pembinaan lestari dan tenaga boleh baharu.
Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) memenangi kategori Ijazah Kejuruteraan, Washington Accord menerusi Real-Time ECG Monitoring & Arrhythmia Classification System Using Deep Learning, yang menggunakan teknologi pembelajaran mendalam bagi pemantauan ECG secara masa nyata serta pengelasan ketidaknormalan rentak jantung.
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pula memenangi kategori Ijazah Teknologi Kejuruteraan, Sydney Accord menerusi ReNova: Advancing Circular Construction Through Geopolymer-Enhanced Recycled Materials, yang meneroka penggunaan bahan kitar semula dan teknologi geopolimer sebagai pendekatan ke arah pembinaan lebih lestari.

Bagi kategori Diploma Kejuruteraan/Teknologi Kejuruteraan Dublin Accord, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) meraih anugerah utama menerusi Rainwater Harvesting Dual Source Irrigation System Powered by Solar, yang menggabungkan penuaian air hujan dan tenaga solar dalam satu sistem pengairan.
Pada masa sama, BEMYEIT 2026 diperkenalkan menerusi AccreNova, sebuah platform baharu LJM yang menggabungkan aspek akreditasi, pendidikan kejuruteraan dan inovasi yang dilancarkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi, sempena National Engineering Convention 2026 (NEC2026).
NEC2026 yang berlangsung dari 17 hingga 20 Ogos lalu dengan tema “Engineering with Integrity in the Digital Age” menghimpunkan kerajaan, akademia, industri dan komuniti kejuruteraan bagi bertukar pandangan mengenai teknologi, inovasi, pendidikan kejuruteraan serta masa depan profesion kejuruteraan.
Menerusi BEMYEIT, LJM berhasrat menggalakkan generasi jurutera akan datang supaya tidak hanya melihat sama ada sesuatu penyelesaian itu boleh dilaksanakan dari sudut teknikal, tetapi turut mempertimbangkan masalah yang ingin diselesaikan, golongan yang menerima manfaat serta impak jangka panjang penyelesaian tersebut.
Sementara itu, LJM memaklumkan graduan kejuruteraan perlu mendaftar sebagai Jurutera Siswazah dengan LJM sebelum memulakan kerjaya dalam bidang kejuruteraan, selaras dengan keperluan Akta Pendaftaran Jurutera 1967.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







