KKR perkukuh strategi 2026, LPT3 dan Pan Borneo jadi tumpuan perbahasan Dewan Negara
KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) memberi jaminan untuk terus memperkukuh kualiti dan kelestarian infrastruktur negara pada tahun 2026, susulan peruntukan baharu yang meningkat berbanding tahun sebelumnya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian menerima RM1.085 bilion bagi Belanja Mengurus, meningkat 3.3 peratus manakala Belanja Pembangunan bertambah kepada RM9.607 bilion, naik 3 peratus daripada tahun 2025.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan kepada kementerian ini.
“KKR akan terus komited meneruskan inisiatif utamanya iaitu meningkatkan kualiti, kemampanan dan kelestarian Infrastruktur Negara dan Kemudahan Awam yang selamat dan selesa untuk rakyat Malaysia.
“Ini dilaksanakan dengan berpaksikan kepada tiga tonggak Ekonomi Madani iaitu Menaikkan Siling Pertumbuhan Negara, Menaikkan Lantai Taraf Hidup Rakyat dan Memacu Pembaharuan terutamanya Tatakelola Baik,” katanya dalam sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Negara hari ini.
Menurutnya, Retreat Pengurusan Tertinggi KKR yang diadakan pada 29 dan 30 November lalu menetapkan beberapa strategi utama pelaksanaan projek bagi tahun 2026.
Antaranya ialah memperkukuh pemantauan dan pelaporan projek melalui jawatankuasa khas, penambahbaikan kontrak konsesi termasuk pelantikan pihak ketiga untuk audit serta penggunaan teknologi pintar seperti kecerdasan buatan dan IoT dan memperluas penggunaan reka bentuk Pre-approved Plan (PAP) dan BIM TEMFLEX bagi mempercepatkan proses rekabentuk.
Selain itu, KKR juga akan memperkasa pelaksanaan Building Information Management (BIM) dan memasukkan reka bentuk seismik dalam projek di kawasan berisiko gempa.
Beliau turut mengakui peningkatan ketara peruntukan penyenggaraan jalan oleh Kementerian Kewangan sejak 2023, iaitu RM1.707 bilion (2023), RM2.442 bilion (2024) dan RM2.986 bilion pada 2025 yang membolehkan kerja-kerja penyenggaraan rutin dan berkala dilaksanakan dengan lebih teratur.
Mengulas isu utama yang dibangkitkan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Senator Che Alis Hamid mengenai Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), beliau menjelaskan bahawa kajian kemungkinan yang dijalankan pada 2009 mencadangkan jajaran dari Kampung Gemuruh, Terengganu ke Pengkalan Kubor, Kelantan dengan kos RM2.867 bilion.
“KKR melalui JKR Malaysia pada tahun 2020 telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan kerja awalan bagi memperincikan semula jajaran dan kos bagi cadangan pembinaan Lebuhraya LPT 3 dengan mengambilkira perubahan dan pembangunan di sekitar jajaran cadangan lebuh raya tersebut.
“Hasil daripada kerja awalan tersebut, jajaran utama yang telah dikenal pasti adalah dari Kampung Gemuruh, Terengganu sehingga ke Tunjong, Kelantan sepanjang 122KM dengan anggaran kos sebanyak RM9.8 bilion berdasarkan kepada reka bentuk laluan empat lorong dua hala mengikut piawaian jalan JKR R6,” jelasnya.
Tambahnya, kerajaan telah memutuskan bahawa LPT3 akan dilaksanakan secara penswastaan melalui kaedah Kerjasama Awam-Swasta (PPP) menggunakan proses bidaan RFP tanpa melibatkan peruntukan kerajaan.
“KKR telah menyerahkan dokumen Statement of Need (SON) kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri untuk penelitian dan penyediaan dokumen bidaan RFP,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







