Lelaki usung jasad kakak ke bank untuk keluarkan wang
NEW DELHI – Petugas sebuah bank dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki yang mengusung jasad kakaknya yang hampir mereput bagi tujuan mengeluarkan baki wang daripada akaun mendiang.
Kejadian mengejutkan itu berlaku di Bank Odisha Grameen cawangan Maliposi di daerah Keonjhar, negeri Odisha di timur India, 27 April lalu, lapor The Daily Mail.
Rangkaian televisyen menyiarkan rakaman lelaki itu yang dikenal pasti sebagai Jeetu Munda membawa apa yang kelihatan seperti jasad yang dibalut sebahagiannya dengan plastik, dengan kaki rangka jelas kelihatan dan disandang di bahunya.
Difahamkan, Jeetu telah beberapa minggu cuba mengakses kira-kira INR 19,300 (RM804.47) daripada akaun kakaknya, mendiang Kalra Munda, yang meninggal dunia Januari lalu akibat penyakit.
Dia mendakwa berulang kali diminta membawa pemilik akaun secara fizikal, walaupun telah menjelaskan bahawa kakaknya sudah meninggal dunia.
Menurut laporan, Jeetu dimaklumkan oleh kakitangan bank bahawa dia perlu mengemukakan dokumen rasmi seperti sijil kematian sebelum sebarang wang boleh dikeluarkan.
Namun, dia didakwa sukar memahami proses tersebut dan gagal menyediakan dokumen yang diperlukan.
Akibat kecewa, Jeetu kemudiannya pergi ke tanah perkuburan kampung, menggali semula jasad kakaknya, membalutnya dengan kain lalu berjalan kira-kira 3 kilometer ke bank, 27 April lalu.
Setibanya di sana, Jeetu meletakkan jasad dibawanya di luar cawangan bank berkenaan hingga mencetuskan kejutan dalam kalangan kakitangan dan pelanggan serta menyebabkan polis dipanggil.
Polis yang kemudiannya dihantar ke lokasi berkata, Jeetu merupakan penduduk miskin luar bandar yang buta huruf dan tidak memahami peraturan perbankan atau proses undang-undang untuk menuntut wang daripada akaun si mati.
Pihak bank dalam satu kenyataan susulan berkata, tuntutan tersebut telah diselesaikan selepas pihak berkuasa mengeluarkan dokumen diperlukan, dan wang telah disalurkan kepada waris sah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

