Maritim Malaysia tampilkan kesiapsiagaan, kekuatan aset pada Perbarisan Hari Kebangsaan
Turut ketengahkan 'wira cilik', lambang kesinambungan semangat patriotisme daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.
PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menampilkan tahap profesionalisme dan kesiapsiagaan anggotanya menerusi penyertaan dalam Perbarisan Hari Kebangsaan ke-69, hari ini.
Penyertaan itu membabitkan 386 pegawai dan anggota, terdiri daripada 310 anggota kontinjen perbarisan, 37 aset serta 39 anggota Pancaragam Maritim Malaysia.
Lebih istimewa, penyertaan tahun ini turut mengetengahkan sembilan ‘Wira Cilik’ yang tampil mengenakan uniform Maritim Malaysia bagi mewakili pelbagai peranan, termasuk Pakaian Bertindak atau Loreng Digital, Pasukan Tindakan Khas (STAR Team), Perenang Penyelamat dan Penerbang.

Kehadiran sembilan Wira Cilik itu bukan sahaja menjadi tarikan kepada orang ramai, malah melambangkan kesinambungan semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.
Penglibatan mereka turut memberi peluang kepada masyarakat, khususnya generasi muda, untuk mengenali dengan lebih dekat kepelbagaian peranan dan kerjaya dalam Maritim Malaysia, sekali gus menyemai minat terhadap bidang keselamatan, penguatkuasaan dan perkhidmatan awam.

Selain menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan, penyertaan Maritim Malaysia turut mencerminkan komitmen agensi dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan, keamanan dan kedaulatan perairan negara.
Kekuatan agensi turut dipamerkan menerusi penglibatan 10 unit aset, termasuk sebuah Bot Kelas Ibrahim, Bot Perkasa, Bot Benteng, Airboat, dua unit Mobile Surveillance Unit (MSU), dua Kenderaan Pengkalan Hadapan (PHC) Cari dan Menyelamat (CARILAMAT) serta dua Jet Ski.

Kepelbagaian aset itu menggambarkan keupayaan Maritim Malaysia menggerakkan aset mengikut keperluan operasi, termasuk bagi tujuan pemantauan, rondaan, penguatkuasaan serta operasi CARILAMAT.
Antara aset yang menjadi perhatian ialah Kenderaan Maritime Emergency Response And Coordination (MERAC) atau PHC, yang berperanan sebagai pusat operasi bergerak bagi membantu Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) menyelaras operasi CARILAMAT di lapangan.

MERAC diperoleh menerusi perolehan di bawah Rolling Plan Kelima (RP5), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMk12) dan akan diserahkan secara berperingkat mulai 2026, dengan keseluruhan tujuh kenderaan dijangka diterima.
Dalam operasi CARILAMAT, MERAC boleh ditempatkan berhampiran lokasi insiden sebagai Pusat Operasi Hadapan (FOB) selain menjadi pusat penyelarasan komunikasi antara agensi, pengumpulan dan analisis maklumat serta penyelarasan aset pasukan penyelamat laut dan udara.
Aset berkenaan turut menyokong pengurusan logistik, penyampaian taklimat operasi serta penyampaian maklumat rasmi kepada waris mangsa dan media bagi memastikan perkembangan operasi disampaikan secara tersusun, tepat dan berkesan.

Gabungan 310 anggota kontinjen, 10 unit aset, 37 aset, 39 anggota Pancaragam Maritim Malaysia dan sembilan Wira Cilik dalam satu perbarisan memperlihatkan kekuatan agensi yang dibina melalui gabungan warga, aset, kepakaran dan semangat patriotisme.
Maritim Malaysia akan terus memperkukuh keupayaan warga dan aset bagi memastikan setiap amanah yang dipertanggungjawabkan dapat dilaksanakan dengan cekap, profesional dan berintegriti demi keselamatan rakyat serta kepentingan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








