Belanjawan 2026: KKR mohon peruntukan tambahan
PUTRAJAYA – Kementerian Kerja Raya (KKR) sudah memohon supaya peruntukan dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan Oktober depan dinaikkan supaya semua projek dibawahnya dapat dilaksanakan dengan penuh kualiti.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, permintaan itu diajukan dalam pertemuan dengan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Azizan Hamzah semalam.
“Kita menerima peruntukan sebanyak RM9.3 bilion (dalam belanjawan kali ini), tertinggi di antara 28 kementerian.
(Bagaimanapun) Kita meminta jumlah itu ditambah supaya semua projek dibawah kementerian dapat dilaksanakan dengan penuh kualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Antarabangsa mengenai Kejuruteraan Forensik (ISoF) 2025, di sini hari ini.
Ahmad berkata, buat masa ini terdapat 860 projek daripada 28 kementerian, bernilai hampir RM40 bilion sedang dalam pelaksanaan pihaknya.
“Projek ini perlu dilaksanakan tanpa kesilapan. Oleh kerana itu, semua projek pembinaan infrastruktur seperti jalan, jambatan, bangunan dan cerun dibuat berdasarkan prinsip profesional dan antarabangsa bagi menjadikan Malaysia yang lebih selamat,” katanya lagi.
Dalam ucapannya, Ahmad turut menekankan penganjuran ISoF 2025 sejajar dengan Dasar Pembinaan Negara 2030 (NCP 2030), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) serta aspirasi Malaysia MADANI, yang menitikberatkan pembangunan berasaskan prinsip akauntabiliti, kelestarian dan kesejahteraan rakyat.
Seminar dua hari yang dianjurkan oleh JKR bermula semalam merupakan langkah penting dalam memperkukuh bidang kejuruteraan forensik sebagai asas kepada pembangunan infrastruktur negara yang lebih selamat, mampan dan berdaya tahan demi kesejahteraan rakyat.
Selain penampilan pakar-pakar di dalam bidang Kejuruteraan Forensik dari dalam dan luar negara, seminar turut mengetengahkan topik penting seperti Geo-forensics, integriti struktur dan konkrit, digitalisasi maklumat, kejuruteraan turapan jalan raya, serta peranan jaminan kualiti dalam amalan kejuruteraan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








