Laluan Gerik-Jeli telah dinaik taraf dengan peruntukan lebih RM60 juta sejak 2023 – Alexander Nanta Linggi
KUALA LUMPUR – Kerajaan telah memperuntukkan lebih RM60 juta bagi kerja menaik taraf laluan FT04, termasuk laluan Gerik-Jeli, sebagai usaha berterusan memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menegaskan, pelbagai inisiatif telah dijalankan bagi memperbaiki keadaan laluan tersebut, terutama susulan insiden kemalangan maut melibatkan pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Sejak Jun 2023, sejumlah RM30 juta telah diperuntukkan untuk membina semula sebahagian laluan FT04.
“Ia diikuti dengan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ogos tahun yang sama bagi kerja naik taraf,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebook.
Tambah beliau, pelbagai kerja penyelenggaraan telah dilaksanakan secara berperingkat, termasuk turapan semula jalan, pembaikan perabot jalan, baik pulih jambatan serta penambahbaikan lampu jalan dan lampu isyarat.
“Semua kerja telah disiapkan secara berperingkat antara Julai hingga Ogos 2023 melibatkan kos sebanyak RM55.73 juta berdasarkan tahap kerosakan jalan yang dinilai melalui ‘Pavement Condition Assessment’ (PCA) di FT04,” ujar beliau.

Menurut Alexander, pada tahun 2024 pula, sebanyak RM7.2 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan kerja pembaikan di beberapa seksyen lain.
“Untuk tahun 2025, lokasi kejadian kemalangan juga telah dikenal pasti sebagai salah satu seksyen yang akan dibaik pulih dengan peruntukan sebanyak RM55 juta.
“Dalam situasi yang masih berduka, saya berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan,” katanya.
Beliau juga menegaskan komitmen kementerian dalam memastikan infrastruktur jalan raya sentiasa dalam keadaan terbaik, sambil mengingatkan bahawa keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama, termasuk para pengguna.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






