Projek VHF langkah strategik pastikan keselamatan infrastruktur negara – Pintas Utama
JELEBU – Projek pembaikan cerun berskala besar di sepanjang laluan Frekuensi Sangat Tinggi (VHF) di sini merupakan antara langkah utama kerajaan bagi memastikan keselamatan infrastruktur strategik negara serta kesinambungan akses teknikal, termasuk di kawasan pedalaman.
Ketua Pegawai Eksekutif Pintas Utama Sdn Bhd, Datuk Marhalim Mohamed berkata, syarikat itu selaku kontraktor utama projek bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja pembaikan cerun di sepanjang laluan tersebut bagi mengurangkan risiko tanah runtuh serta memastikan akses penyelenggaraan berterusan ke kemudahan komunikasi.
“Kegagalan menangani risiko cerun di kawasan ini bukan sekadar isu teknikal semata-mata, malah boleh mencetuskan kesan berantai yang signifikan.
“Kegagalan mengenal pasti cerun berisiko tinggi di sepanjang laluan ini boleh mencetuskan kesan domino yang membawa implikasi langsung terhadap sistem komunikasi keselamatan serta rangkaian digital tempatan,” katanya dalam satu kenyataan selepas perasmian projek tersebut di sini hari ini.
Projek berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang turut mengadakan lawatan rasmi ke beberapa tapak projek pembaikan cerun yang telah siap di sepanjang laluan VHF serta meninjau sendiri kaedah yang digunakan bagi kerja-kerja pembaikan cerun.
Sebelum itu, Nanta dalam ucapannya pada majlis penyerahan projek berkenaan menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada Pintas Utama atas pelaksanaan tanggungjawab yang dijalankan dengan penuh dedikasi dan berkesan.
Majlis penyerahan projek hari ini melambangkan komitmen kukuh Kerajaan Negeri Sembilan dan JKR Daerah Seremban, bersama kontraktor Pintas Utama, dalam mengutamakan keselamatan infrastruktur cerun di lokasi yang mempunyai kepentingan strategik kepada ekonomi negara dan komuniti setempat.
“Syabas dan terima kasih kepada kontraktor Pintas Utama atas tahap komitmen yang tinggi serta usaha berterusan dalam memastikan projek ini disiapkan mengikut piawaian dan garis masa yang ditetapkan,” katanya.
Projek pembaikan cerun yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan bermula pada 24 November 2022 telah siap sepenuhnya pada 14 Oktober 2025 dengan kos berjumlah RM109 juta.
Projek ini merangkumi 36 Arahan Kerja melibatkan 124 lokasi sepanjang laluan sejauh 11 kilometer, merangkumi cerun berisiko tinggi, sederhana dan rendah.
Sementara itu, Marhalim berkata sekiranya berlaku kegagalan cerun, akses penyelenggaraan ke menara komunikasi akan terganggu, sekali gus mengakibatkan kos pemulihan yang tidak dijangka serta gangguan terhadap perkhidmatan digital kritikal yang penting kepada ekonomi dan komuniti sekitar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







