BERITA SEMASA

Lebuhraya Pan Borneo disasar siap sepenuhnya suku keempat 2028

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) komited memastikan baki jajaran Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah disiapkan secara berperingkat, dengan sasaran penyelesaian menyeluruh bagi Fasa 1A dan Fasa 1B pada suku keempat tahun 2028.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek LPB Sabah melibatkan jajaran sepanjang 706 kilometer (km) yang dibahagikan kepada 35 pakej kerja, menjadikannya lebih kompleks dari segi pengurusan dan penyelarasan berbanding LPB Sarawak yang merangkumi 11 pakej kerja bagi jarak 786km.

alexander
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

“Jumlah pakej kerja yang lebih banyak di Sabah secara tidak langsung menyebabkan proses perolehan, penyelarasan antara kontraktor, agensi kerajaan dan perunding menjadi lebih panjang sekali gus menyumbang kepada kelewatan projek,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau memaklumkan, pelaksanaan LPB Sabah Fasa 1 dibahagikan kepada Fasa 1A dan Fasa 1B, masing-masing melibatkan 16 dan 19 pakej kerja.

Setakat ini, Fasa 1A mencatat kemajuan fizikal sebanyak 86.98 peratus, manakala Fasa 1B berada pada tahap 13.68 peratus.

“Empat pakej kerja di bawah Fasa 1A telah siap sepenuhnya dan kini memberi manfaat terus kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Dari segi kos, Alexander menjelaskan peruntukan bagi Fasa 1A berjumlah RM10.9 bilion, manakala Fasa 1B melibatkan peruntukan sebanyak RM13.989 bilion.

Bagaimanapun, kos keseluruhan Fasa 1A masih belum dimuktamadkan kerana kerja pembinaan masih berjalan dan mengambil kira keperluan Variation of Work (VO).

Sehingga kini, sebanyak 78 VO diterima bagi Fasa 1A dengan pembayaran berjumlah RM9.2 bilion telah dibuat oleh kerajaan termasuk bagi Pakej Kerja WP09.

Mengulas jajaran Sindumin–Beaufort yang dibangkitkan oleh beberapa Ahli Parlimen, beliau berkata, projek itu melibatkan dua pakej kerja iaitu WP01 dari Sindumin ke Melalia sepanjang 28.5km dan WP02 dari Melalia ke Beaufort sejauh 34.7km.

Status kemajuan semasa menunjukkan WP01 berada pada tahap 87.79 peratus berbanding jadual 97.64 peratus, manakala WP02 mencatat 62.31 peratus berbanding jadual 77.87 peratus.

Menurut beliau, kelewatan berpunca daripada beberapa kekangan teknikal, namun KKR bersama Jabatan Kerja Raya Sabah telah melaksanakan langkah intervensi tegas termasuk pemantauan rapi dan pelaksanaan pelan pemulihan.

“Saya sendiri telah beberapa kali turun padang sepanjang tahun 2025 bagi meninjau kemajuan projek ini dan mengenal pasti isu di peringkat tapak.

“Kementerian akan terus memantau pelaksanaan projek ini melalui Jawatankuasa Pemandu secara bulanan,” katanya.

Alexander menegaskan, LPB Sabah merupakan projek berimpak tinggi yang menjadi keutamaan kementerian dalam memacu pembangunan sosioekonomi dan meningkatkan mobiliti rakyat di negeri itu, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button