Dua remaja maut motosikal dirempuh kereta di Pan Borneo
MIRI – Dua remaja lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Pan Borneo berhampiran Simpang Alam Bumi, Suai, di sini Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Miri, Asistan Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian berlaku pada pukul 7.45 malam ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Miri.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah kereta dipandu lelaki berusia 32 tahun dari arah Miri menuju ke Bintulu disyaki melanggar bahagian belakang motosikal dinaiki dua remaja terbabit.
“Akibat kemalangan itu, penunggang dan pembonceng motosikal mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Miri pada 20 April masing-masing pada pukul 2.30 petang dan 5.44 petang.
“Pemandu kereta tidak mengalami kecederaan dan telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 112 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 41(1) akta yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik atau balai polis berhampiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













