BERITA SEMASADALAM NEGERI

KKR peruntuk RM10.8 juta baik pulih cerun runtuh di Wang Kelian

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) meluluskan peruntukan sebanyak RM10.8 juta
bagi melaksanakan kerja membaik pulih cerun yang runtuh di beberapa lokasi sepanjang laluan Jalan Kaki Bukit-Wang Kelian, serta Jalan Pagar Keselamatan Bukit Kuan Choh dekat Padang Besar, Perlis.

Menurut kenyataan Istana Arau, kerja awalan dijangka dimulakan dalam masa terdekat, manakala kerja pembaikan utama dijadualkan bermula Januari tahun depan.

Tempoh keseluruhan pembaikan dianggarkan mengambil masa enam hingga 12 bulan bergantung kepada keadaan cuaca dan tahap kerosakan.

“Pelaksanaan kerja baik pulih akan melibatkan beberapa kaedah teknik cerun, seperti Tie Back Wall, Soil Nailing, ECM, Hydromulching dan Rockfall Netting.

“Pendekatan teknikal ini dipilih bagi memastikan kestabilan cerun dalam jangka panjang, sekali gus meningkatkan keselamatan laluan kepada pengguna,” menurut kenyataan itu, kelmarin.

Dalam kenyataan sama, Pengarah Jabatan Kerja Raya Perlis, Norikhwan Abu Seman memaklumkan, laluan di Jalan Kaki Bukit-Wang Kelian masih ditutup kepada orang awam, namun pergerakan kenderaan tidak melebihi tiga tan dibenarkan secara berjadual dari pukul 7 pagi hingga 7 malam.

“Laluan ini dibuka secara terhad kepada penduduk setempat, kenderaan yang terlibat dalam kerja pembaikan, serta pelancong atau individu ingin mengambil kenderaan yang terkandas,” katanya.

Dalam kejadian 23 November lepas, hampir 400 orang terkandas di Wang Kelian dekat Padang Besar, selepas berlaku runtuhan tanah di Jalan Wang Kelian berikutan hujan berterusan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button