Dana awam berpotensi rugi RM472 juta susulan kejatuhan saham Zetrix – Rafizi
KUALA LUMPUR – Dana awam berpotensi menanggung kerugian kira-kira RM472 juta susulan kejatuhan harga saham Zetrix AI Berhad sebanyak 93.4 peratus dalam tempoh enam bulan, menurut Pemimpin BERSAMA, Rafizi Ramli.
Rafizi berkata, kemungkinan kerugian itu membabitkan pegangan saham Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), sekiranya ketiga-tiga dana berkenaan masih memegang saham syarikat itu ketika kejatuhan mendadak berlaku.
Rafizi berkata, berdasarkan laporan kewangan Zetrix, harga penutup saham syarikat itu merosot daripada 75.5 sen pada 1 April lalu kepada lima sen pada 19 Oktober, dengan penurunan ketara bermula pada 28 Ogos lalu.
“Maklumat awam menunjukkan KWSP memegang 67.674 juta saham Zetrix setakat 1 April lalu, manakala KWAP mempunyai 390.09 juta saham berdasarkan maklumat sehingga 2 Oktober 2025.
“UJSB pula dilaporkan memegang 211.507 juta saham syarikat itu setakat 1 April lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Walau bagaimanapun, Rafizi berkata, jumlah terkini pegangan ketiga-tiga dana berkenaan belum diketahui kerana maklumat itu hanya akan dilaporkan selepas Laporan Tahunan Zetrix bagi tahun kewangan 2026 dimuktamadkan.
Menurutnya, isu berkenaan bukan sekadar membabitkan potensi kerugian pelaburan dana awam, malah turut menimbulkan persoalan mengenai keupayaan kewangan syarikat dan implikasinya terhadap projek berkepentingan nasional.
Beliau mendakwa, Zetrix berdepan masalah aliran tunai selain kegagalan membayar kutipan hasil kerajaan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjumlah RM314 juta serta pelanggaran syarat sukuk bernilai RM2 bilion yang masih belum diselesaikan.
Rafizi turut mempersoalkan kesan krisis kewangan itu terhadap pelaksanaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe), susulan tindakan Zetrix melupuskan keseluruhan pegangan 16.9 peratus dalam HeiTech Padu Berhad pada 2 September lalu.
Katanya, HeiTech Padu menerima kontrak bernilai RM1.05 bilion untuk membangunkan NIISe pada 2024, ketika Zetrix merupakan antara pemegang saham terbesarnya dan diumumkan sebagai rakan teknologi bagi projek berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa pentadbiran Kerajaan MADANI, khususnya Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan tahap pendedahan dana awam terhadap saham Zetrix serta kerugian yang mungkin ditanggung.
“Berdasarkan perkembangan-perkembangan ini, saya berpandangan pentadbiran Madani, terutamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan, tidak lagi berdiam diri dan berharap isu ini tidak disedari rakyat,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut meminta penjelasan mengenai jumlah saham yang masih dipegang oleh institusi berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) setakat 20 Oktober lalu, termasuk perbezaan antara kerugian atas kertas dengan kerugian yang telah direalisasikan melalui penjualan saham.
Selain itu, Rafizi mahu kerajaan menjelaskan syarikat yang kini bertanggungjawab membekalkan teknologi bagi projek NIISe selepas Zetrix melupuskan pegangan dalam HeiTech Padu, serta kesannya terhadap pelaksanaan projek berkenaan.
“Saya akan memberi tumpuan kepada perkara ini sehinggalah rakyat mendapat jawapan yang memuaskan dan mereka yang terlibat disiasat; seperti mana saya memberi tumpuan kepada skandal-skandal kewangan dana awam yang terdahulu di bawah pentadbiran UMNO (1MDB, Tabung Haji, FELDA, MARA, NFC),” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








