Sunway gagal ambil alih IJM
KUALA LUMPUR – Tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat oleh Sunway Bhd ke atas semua saham biasa IJM Corporation Bhd secara rasminya telah luput, lapor BH Online.
Maybank Investment Bank Bhd, yang mewakili pihak penawar, mengesahkan bahawa tawaran berkenaan ditutup berikutan kegagalan mencapai Syarat Penerimaan.
Pihak penawar gagal menerima penerimaan sah yang membolehkan mereka memegang lebih 50.00 peratus saham mengundi dalam IJM Corporation Bhd.
Penutupan tempoh tawaran berkenaan berkuat kuasa pada jam 5.00 petang waktu Malaysia pada hari Isnin, 6 April 2026.
Setakat tarikh dan waktu penutup berkenaan, Sunway Bhd hanya berjaya meraih penerimaan sah yang menjadikan pegangan mereka terhad kepada 1,171,716,556 saham.
Pegangan akhir pihak penawar berkenaan hanyalah mewakili 33.43 peratus daripada jumlah keseluruhan saham mengundi.
Terdapat juga sejumlah 823,816 saham tambahan yang menyumbang sekitar 0.02 peratus masih berstatus tertakluk kepada pengesahan lanjutan sehingga waktu tawaran ditutup.
“Peratusan ini dikira berdasarkan 3,505,166,120 saham dalam terbitan, tidak termasuk saham perbendaharaan setakat tarikh penutup,” kata Pengarah Kewangan Korporat Maybank Investment Bank Bhd, David Cheah Eu Jin.
“Oleh itu, tawaran berkenaan tidak lagi sah untuk sebarang penerimaan lanjut,” tegas Eu Jin.
Selaras dengan luputnya tawaran berkenaan, nasib pelabur yang telah bersetuju adalah terbela kerana semua penerimaan akan dikembalikan sepenuhnya kepada pemegang saham yang menerima.
Pada masa yang sama, pihak penawar kini tidak lagi tertakluk atau terikat dengan mana-mana penerimaan yang telah dipersetujui sebelum tempoh berkenaan berakhir.
Perkongsian rasmi mengenai tahap penerimaan pada hari penutup ini diumumkan selaras dengan pematuhan perenggan 13.01 di bawah Peraturan.
Keseluruhan notis itu disandarkan kepada Dokumen Tawaran bertarikh 3 Februari 2026 serta notis akhbar berhubung pelarasan pertimbangan tunai pada 25 Februari 2026 dan kelulusan pemegang saham penawar pada 26 Mac 2026.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








