MAHA 2026 meterai 97 MoU bernilai RM10.35 bilion – Mohamad Sabu
KUALA LUMPUR – Kerjasama pembangunan industri baja bersepadu bernilai RM1.5 bilion antara Malaysia dan China antara pelaburan utama yang dimeterai sepanjang Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sebanyak 97 memorandum persefahaman (MoU) bernilai keseluruhan RM10.35 bilion dimeterai sepanjang penganjuran acara itu, termasuk kerjasama bernilai RM3.27 bilion dengan rakan strategik dari China.
“Sepanjang penganjuran MAHA 2026, sebanyak 97 Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai dengan nilai pelaburan berjumlah RM10.35 bilion, termasuk RM3.27 bilion menerusi kerjasama dengan rakan strategik dari China.
“Antaranya termasuk pembangunan industri baja bersepadu bernilai RM1.5 bilion yang melibatkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bersama Guizhou Phosphate Chemical Group Co. Ltd. (GPC) dan Jiangsu Chemical Design Institute Co. Ltd. (CDIJS) dari China, selain pembangunan industri tuna serta ekosistem pemprosesan makanan laut bersepadu di Labuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Ahli Parlimen Gopeng mengenai pencapaian MAHA 2026, termasuk nilai tambah dan pelaburan susulan yang dijangka direalisasikan hasil MoU berkenaan, di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, kerjasama berkenaan turut merangkumi industri pemprosesan nanas bernilai RM1 bilion serta pembangunan baja khusus untuk tanaman nanas bernilai RM100 juta.
Mohamad berkata, pelbagai kerjasama itu dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran dan pemprosesan, memperkukuh rantaian nilai serta meluaskan akses produk agromakanan tempatan ke pasaran antarabangsa.
Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menyelaras serta memantau tindakan susulan bersama agensi berkaitan dan pihak industri bagi memastikan komitmen yang dimeterai dapat direalisasikan menerusi pelaksanaan projek sebenar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


