AKPS sahkan dua video tular mirip Ketua Pengarah adalah ‘deepfake’
PUTRAJAYA – Dua video tular di media sosial yang memaparkan wajah dan suara menyerupai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) disahkan palsu dan dihasilkan menggunakan teknologi ‘deepfake’.
Dalam kenyataan hari ini, AKPS memaklumkan bahawa video yang dimuat naik melalui akaun TikTok @datok.abdul.kazim itu secara jelas meniru identiti Ketua Pengarah agensi berkenaan dengan tujuan mengelirukan orang ramai.
Kandungan video tersebut turut memberi gambaran kononnya wujud sokongan terhadap pemberian bantuan tertentu sedangkan mesej itu tidak pernah dibuat, diluluskan atau disahkan oleh AKPS.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan kandungan berasaskan kecerdasan buatan seperti deepfake yang boleh dimanipulasi untuk tujuan penipuan,” tegas kenyataan itu.
Sehubungan itu, AKPS mengingatkan orang ramai supaya merujuk hanya kepada saluran rasmi kerajaan bagi mendapatkan maklumat yang tepat berkaitan sebarang bentuk bantuan.
“Bagi memperoleh maklumat sahih mengenai bantuan kerajaan, orang ramai disaran merujuk media rasmi serta laman sesawang kementerian, jabatan dan agensi berkaitan,” menurut kenyataan tersebut.
AKPS turut menegaskan bahawa pihaknya memandang serius penyebaran video palsu berkenaan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.
“AKPS sedang meneliti perkara ini dengan serius dan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu atau pihak yang menghasilkan serta menyebarkan kandungan palsu tersebut,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








