4,000 warga Myanmar di depot tahanan bakal dihantar pulang
BUKIT KAYU HITAM – Kerajaan menyasarkan untuk menghantar pulang 4,000 warga Myanmar yang kini ditempatkan di 19 depot tahanan imigresen di seluruh negara sebaik sahaja proses dokumentasi mereka selesai.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, usaha menghantar pulang warga Myanmar itu bermula ketika Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun lalu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hasil usaha itu, katanya, menyaksikan kerajaan Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 rakyatnya yang berlindung di Malaysia selepas perkara berkenaan dibangkitkan di peringkat ASEAN, lapor NST.
“Fokus utama kita sudah tentu membabitkan tahanan di 19 depot tahanan di seluruh negara yang kini menempatkan kira-kira 22,000 orang. Daripada jumlah itu, kita mengenal pasti 4,000 adalah warga Myanmar dan mereka akan menjalani proses saringan.
“Kita akan menempatkan mereka di sebuah depot sahaja, berbanding keadaan sekarang yang berselerak di beberapa depot, bagi memudahkan proses yang sedang dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah di Felda Bukit Tangga, di sini hari ini.
Beliau menambah, proses saringan terhadap warga Myanmar itu akan dilaksanakan oleh agensi penguat kuasa iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Apabila semua prosedur selesai, dokumen yang mengesahkan status pelarian mereka akan dikeluarkan sebelum proses penghantaran pulang dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.
Semalam, Anwar mengumumkan Myanmar bersetuju menerima pulang 5,000 pelarian Rohingya yang kini berada di Malaysia hasil rundingan diplomatik serta hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri berkata, perkembangan itu merupakan langkah awal dalam menangani isu berkenaan, di samping memastikan ketenteraman awam di Malaysia terus terpelihara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















