
Papagomo ditahan, disyaki keluarkan kenyataan aibkan YDPA
KUALA LUMPUR – Polis menahan Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo selepas disyaki mengeluarkan kenyataan yang mengaibkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), hari ini.
Kenyataan itu dikesan menerusi satu hantaran video berdurasi dua minit 46 saat yang memaparkan Papagomo mempersoalkan tindakan YDPA bertemu pemilik kedai serbaneka KK Mart.
Tangkapan individu tersebut telah disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, lapor portal MalaysiaGazette.
“Tangkapan dilakukan susulan laporan polis diterima berkaitan video berkenaan, daripada seorang peniaga berumur 41 tahun yang mengesan hantaran itu ketika melayari media sosial di rumahnya, semalam.
“Papagomo telah ditahan di kediamannya di Setapak bagi membantu siasatan, dan ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi,” kata Razarudin memetik laporan BH.
Dalam pada itu, hantaran video itu turut mendakwa bahawa YDPA mengarahkan Ahli Jawatankuasa Penerangan BERSATU, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard dituduh di mahkamah di bawah Akta Hasutan 1948.
Pada masa ini, Razarudin dan pihaknya sedang dalam proses memohon perintah reman terhadap Papagomo bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








