JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah arah Papagomo bayar RM280,000 dalam kes fitnah Guan Eng, anak

KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial, Papagomo diperintahkan Mahkamah Tinggi di sini hari ini, membayar ganti rugi keseluruhan RM280,000 kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan anak lelakinya selepas didapati memfitnah mereka menerusi satu hantaran Facebook enam tahun lalu.

Hakim Roslan Mat Nor membuat keputusan itu selepas membenarkan saman yang difailkan Guan Eng bersama anaknya, Clint Lim Way Chau terhadap Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris.

Mahkamah memerintahkan defendan membayar RM200,000 kepada Guan Eng dan RM80,000 kepada Clint Lim sebagai ganti rugi, menurut laporan Kosmo! Online.

Selain itu, Papagomo turut diarahkan membayar kos RM30,000 kepada Guan Eng dan RM10,000 kepada Clint Lim.

Kes saman berkenaan berkaitan dakwaan kononnya Clint Lim ditahan di Singapura pada tahun 2020 kerana membawa masuk wang tunai RM2 juta tanpa membuat pengisytiharan.

Related Articles

Sepanjang prosiding, kedua-dua plaintif diwakili peguam K Simon Murali manakala Papagomo diwakili peguam Logan Iskandar Abdullah.

Guan Eng dan anaknya memfailkan saman fitnah itu di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 15 Oktober 2020 sebelum kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Saman tersebut merujuk kepada satu hantaran Facebook yang didakwa dimuat naik defendan menggunakan nama ‘Papa Azri’ pada 14 Mac 2020.

Plaintif mendakwa hantaran itu mengandungi kenyataan palsu bahawa Guan Eng bergegas ke Singapura selepas anaknya ditahan di Lapangan Terbang Changi kerana membawa wang tunai RM2 juta tanpa diisytiharkan kepada pihak berkuasa.

Dakwaan itu dipercayai timbul susulan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina pada Mac 2020 yang kemudiannya menarik balik laporan berkenaan serta membuat permohonan maaf.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button