BERITA SEMASA

Guan Eng dan Tony Pua junjung kasih titah Sultan Selangor, nafi pernah hentikan projek LRT3

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bersama bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua menegaskan projek LRT3 atau kini dikenali sebagai Laluan LRT Shah Alam tidak pernah dihentikan, digantung atau terbengkalai ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) antara 2018 hingga 2020.

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka menjunjung kasih atas titah pandangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berhubung penyiapan projek berkenaan, sambil menjelaskan beberapa perkara yang menurut mereka boleh disahkan oleh Prasarana Malaysia Berhad dan MRCB Bhd.

“Projek LRT3 tidak pernah dihentikan, terbengkalai atau digantung semasa pentadbiran PH antara tahun 2018 hingga 2020. Kami juga ingin menegaskan bahawa pentadbiran PH ketika itu menyokong sepenuhnya projek LRT3 dan menganggapnya sebagai projek kritikal dan penting untuk meningkatkan kualiti kehidupan harian penduduk Lembah Klang.

“Pada tahun 2015, pentadbiran Barisan Nasional (BN) di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah meluluskan RM9 bilion untuk projek LRT3 dan memberikan Prasarana jaminan kerajaan berjumlah RM10 bilion bagi tujuan meraih dana projek. Akan tetapi, Prasarana telah menganugerahkan pelbagai Kontrak Pakej Kerja atau Work Package Contracts (WPC), berjumlah RM15.2 bilion pada Mac 2018, jauh melebihi peruntukan asal RM9 bilion yang telah diluluskan.

“Setelah mengambil kira semua kos lain, termasuk tetapi tidak terhad kepada pengambilan tanah, yuran PDP dan perunding, serta faedah yang akan ditanggung sepanjang tempoh pembinaan, Prasarana pada Mac 2018 telah mengemukakan cadangan belanjawan projek baharu sebanyak RM31.65 bilion serta permohonan tambahan Jaminan Kerajaan sebanyak RM22 bilion bagi mendapatkan pembiayaan untuk projek tersebut,” katanya hari ini.

Dalam pada itu menurut kenyataan itu, kerajaan PH kemudian melantik perunding kejuruteraan bebas bagi menyemak skop projek ketika kemajuan pembinaan hanya sekitar sembilan peratus, selain mengambil kira unjuran trafik penumpang dan keperluan yang diluluskan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Hasil semakan itu menurut kenyataan itu, jemaah menteri meluluskan pengurangan kos projek daripada RM31.65 bilion kepada RM16.63 bilion, sekali gus menjimatkan RM15.02 bilion.

“Antara langkah rasionalisasi yang dilaksanakan termasuk mengurangkan tempahan tren daripada 42 set enam gerabak kepada 22 set tiga gerabak, menangguhkan pembinaan lima stesen yang mempunyai unjuran penumpang rendah serta memansuhkan model Project Delivery Partner (PDP) dan menggantikannya dengan kontrak harga tetap,” katanya.

Guan Eng dan Tony berkata, lima stesen yang ditangguhkan itu kemudiannya dimasukkan semula menerusi fasa kedua projek bersama penambahan tren dan kerja naik taraf lain, menyebabkan kos projek meningkat kepada RM21.93 bilion.

Bagaimanapun, mereka menegaskan jumlah itu masih lebih rendah sebanyak RM9.72 bilion berbanding anggaran kos asal RM31.65 bilion.

Mereka turut mendakwa beban hutang projek yang lebih rendah dijangka membolehkan kerajaan menjimatkan sehingga RM10 bilion lagi dalam kos faedah sepanjang tempoh 25 hingga 30 tahun.

Menurut mereka, penjimatan tersebut tidak menjejaskan kapasiti atau fungsi sistem LRT, sebaliknya membolehkan kerajaan menyalurkan lebih banyak peruntukan kepada kebajikan rakyat dan projek pembangunan lain.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button