BERITA SEMASADALAM NEGERI

Program Kampung Angkat MADANI rapatkan jurang kemudahan desa-bandar – KPN

KUALA PILAH – Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain menegaskan bahawa Program Kampung Angkat MADANI 2025 merupakan pendekatan holistik bagi merapatkan jurang kemudahan asas antara desa dan bandar, selain menyediakan perkhidmatan kemasyarakatan terbaik kepada rakyat.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Keharmonian Masyarakat Kampung Angkat MADANI 2025 di Kompleks Institut Pengajian Tasawuf, Kampung Parit Seberang, di sini, semalam.

SALAH satu persembahan gimik oleh anggota PDRM pada program tersebut.

Menurut Razarudin, Kampung Parit Seberang dipilih sebagai kampung angkat MADANI berdasarkan penilaian tahap kemudahan asasnya berada di bawah 50 peratus dan memerlukan perhatian khusus daripada pelbagai pihak.

“Program ini memberi tumpuan kepada penyediaan keperluan asas dan prasarana melalui kerjasama kementerian, jabatan, agensi serta universiti awam dalam semangat pendekatan ‘Whole of Government’,” ujarnya.

Ketibaan beliau disambut oleh Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof bersama pimpinan tempatan dan warga kampung.

Razarudin turut menzahirkan penghargaan atas sokongan aktif penduduk tempatan dalam menjayakan program yang lebih istimewa buat dirinya kerana ia diadakan di kampung kelahirannya sendiri.

Malah, kehadiran ibu tercinta, Rahmah Abd Rahman turut menyerikan majlis perasmian berkenaan.

Gambar menunjukkan Razarudin bersama ibunya yang merupakan penduduk di kampung tersebut.

Program disemarakkan dengan gimik perasmian oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Negeri Sembilan yang diketuai ASP Noor Azhar Noor Mohamad.

Sebelum itu, tetamu disajikan dengan persembahan seni mempertahankan diri Pancang 12 yang menggunakan cota dan perisai oleh anggota Unit 7, Pasukan Simpanan Persekutuan Kontinjen Negeri Sembilan.

Sebagai menyantuni masyarakat setempat, KPN turut menyampaikan bantuan bakul Rahmah kepada 20 keluarga terpilih.

Program sehari itu menampilkan pelbagai pengisian seperti ceramah kesedaran keselamatan, pemeriksaan kesihatan percuma, pameran perkhidmatan oleh agensi kerajaan serta tawaran diskaun saman trafik sebanyak 50 peratus bagi kesalahan terpilih.

Turut hadir, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Pilah, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (Pengurusan), Datuk Rozitta Sulaiman.

Hadir sama, barisan Timbalan Pengarah Polis Diraja Malaysia merangkap Setiausaha Polis Malaysia, SAC Datuk Kamaruzaman Abdullah; Timbalan Ketua Polis Negeri, SAC Muhammad Idzam Jaafar, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin serta Ketua Kampung merangkap Pengerusi JPKK Parit Seberang, Hasnan Abdul Malek.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button