BERITA SEMASADALAM NEGERI

Zahid hadir Musyawarah Nasional bincang keresahan bangsa Melayu esok

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dijadual menyertai Musyawarah Nasional bertemakan ‘Keresahan Bangsa Melayu: Apakah Penyelesaiannya?’ yang akan berlangsung di Hotel Premiera di sini, esok.

Program bermula pada pukul 8.30 pagi itu dijangka menghimpunkan tokoh masyarakat, ilmuwan, agamawan, ahli akademik, profesional, teknokrat serta pelbagai pemegang taruh bagi membincangkan isu dan cabaran semasa yang dihadapi bangsa Melayu.

Ahmad Zahid berkata, musyawarah tersebut akan memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu sosial, ekonomi, politik, pendidikan serta nilai dan jati diri dalam usaha mencari penyelesaian lebih menyeluruh dan berimpak.

“Insya-Allah, esok saya akan bersama menghadiri Musyawarah Nasional yang akan membincangkan topik ‘Keresahan Bangsa Melayu: Apakah Penyelesaiannya?’ bersama tokoh masyarakat, ilmuwan, agamawan, profesional, ahli akademik, teknokrat dan pelbagai pemegang taruh,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Berdasarkan poster program itu, sesi perbincangan akan disertai beberapa tokoh seperti Datuk Dr. Zainal Abidin Sanusi (teras politik), Prof. Dr. Syed Zainal Syed Ariffin Mohd Tahir (teras ekonomi), Datuk Prof Mohammad Shatar Sabran (teras sosial), Datuk Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kassim (teras agama), Datuk Seri Prof Dr Noor Inayah Yaakub (teras pendidikan).

Musyawarah Nasional bertemakan “Keresahan Bangsa Melayu: Apakah Penyelesaiannya?” yang akan berlangsung di Hotel Premiera di sini, esok.

Penganjur turut mengajak orang ramai hadir bersama-sama menyertai musyawarah berkenaan demi masa depan bangsa selain membuka pendaftaran kepada peserta melalui kod QR yang disediakan pada poster rasmi program tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button