Rasuah SOSMA RM80,000, anggota penguatkuasa direman SPRM
GEORGE TOWN – Seorang anggota penguat kuasa direman selama lima hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang kerana disyaki meminta wang rasuah kira-kira RM80,000 daripada seorang wanita.
Wang tersebut dikatakan untuk membantu membebaskan suami wanita itu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Perintah reman sehingga 23 Disember 2024 terhadap suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an itu dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Azlan Basri di Mahkamah Majistret Georgetown di sini pagi ini.
Menurut sumber, suspek dipercayai menghubungi wanita tersebut pada 30 November lalu, menawarkan untuk mengubah keterangan bagi membantu pembebasan suaminya yang ditahan di bawah SOSMA.
“Menerusi perbualan telefon itu, suspek meminta wang sebanyak RM80,000 dan menggesa wanita tersebut membayar pendahuluan kira-kira RM25,000.
“Wanita itu kemudiannya membuat beberapa pindahan wang melalui e-wallet bernilai RM3,000,” kata sumber.
Pada Isnin lalu, suspek sekali lagi meminta wang tunai RM2,000 daripada wanita berkenaan.
Dalam pertemuan di sebuah stesen minyak di Sungai Dua sekitar jam 2 petang semalam, wanita itu menyerahkan RM1,000 sebelum suspek ditahan.
Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan tersebut. Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








