BERITA SEMASA

Yayasan Ar Riduwan perkasa bantuan kesihatan, sumbang 30 kerusi roda kepada HTSMTI Kulai

KULAI – Yayasan Ar Riduwan (YAR) terus memperkukuh komitmen kebajikan kesihatan apabila menyumbangkan sebanyak 30 kerusi roda kepada Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), Kulai, Johor bagi membantu mengurangkan keperluan mendesak di hospital berkenaan.

Ketua Pegawai Operasi YAR, Luqmanul Hakim Muhamad Riduwan berkata, sumbangan berjumlah RM30,000 itu merupakan kali keempat disalurkan yayasan tersebut kepada HTSMTI sejak fasa pertama bermula Ogos tahun lalu.

Menurut beliau, selain kerusi roda, YAR sebelum ini turut menyalurkan bantuan peralatan lain seperti katil, almari, loker dan kelengkapan perabot dengan jumlah keseluruhan RM60,000 bagi kegunaan hospital tersebut.

Katanya, inisiatif berkenaan dilaksanakan di bawah Kluster Kebajikan Kesihatan YAR bagi membantu menggantikan peralatan rosak serta menampung peningkatan keperluan pesakit yang semakin bertambah.

“Ini adalah usaha berterusan YAR dalam membantu pihak hospital, khususnya bagi memastikan kelengkapan asas pesakit dapat dipenuhi dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baca juga : Yayasan Ar Riduwan agih 8,000 bubur lambuk hargai petugas barisan hadapan

Yayasan Ar Riduwan
Sumbangan berterusan YAR kepada HTSMTI Kulai mencerminkan usaha membantu meringankan beban pesakit serta memperkukuh kemudahan perubatan di hospital awam.

Beliau berkata, pihak YAR juga sedang merancang untuk memperluaskan bantuan keperluan lain kepada HTSMTI termasuk penyediaan penghawa dingin serta cadangan pembelian ambulans untuk kegunaan hospital tersebut.

Sebelum ini, YAR turut menyalurkan pelbagai bantuan kebajikan termasuk 10 kotak lampin pakai buang kepada Hospital Muar serta sumbangan katil kepada seorang individu bagi kegunaan anaknya yang terlibat dalam kemalangan.

Sepanjang Ramadan lalu, YAR turut mengagihkan 8,000 bungkusan bubur lambuk kepada petugas barisan hadapan sebagai sebahagian program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Mengulas lanjut, Luqmanul Hakim berkata YAR berharap sumbangan yang disalurkan dapat membantu pesakit asnaf serta meringankan beban hospital terlibat, selain diteruskan ke lebih banyak lokasi pada masa akan datang.

“YAR komited untuk terus menyantuni hospital dan pesakit melalui sumbangan peralatan kesihatan serta membuka ruang kepada lebih ramai sukarelawan dan penyumbang,” katanya.

YAR yang berdaftar dengan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri mula beroperasi tahun lalu dengan fokus bantuan kepada kluster kesihatan, komuniti dan pendidikan.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan derma ke akaun Maybank 551043833248 atas nama Yayasan Ar Riduwan dengan rujukan Kebajikan Kesihatan atau menghubungi +6019-529 9929 untuk maklumat lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button