Banjir : Lebih 14,000 masih berada di PPS lapan negeri
KUALA LUMPUR – Seramai 14,040 mangsa banjir daripada 4,518 keluarga masih berada di 171 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan negeri setakat pukul 7 pagi ini, menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Perak kekal negeri paling terjejas dengan 4,626 mangsa melibatkan 1,412 keluarga yang ditempatkan di 30 PPS, diikuti Perlis dengan 3,050 mangsa (1,148 keluarga) di 22 PPS, manakala Selangor mencatat 2,711 mangsa (753 keluarga) di 30 PPS.
Jumlah di negeri lain adalah seperti berikut:
-
Terengganu: 1,774 mangsa (555 keluarga), 50 PPS
-
Kelantan: 898 mangsa (307 keluarga), 5 PPS
-
Pahang: 601 mangsa (208 keluarga), 18 PPS
-
Kedah: 303 mangsa (90 keluarga), 14 PPS
-
Negeri Sembilan: 77 mangsa (45 keluarga), 2 PPS
JKM turut melaporkan bahawa daripada keseluruhan mangsa, sebanyak 2,101 adalah warga emas, 4,745 ialah kanak-kanak termasuk 375 bayi, manakala 499 lagi merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).
Sementara itu, laporan Public Infobanjir menunjukkan beberapa sungai dan empangan masih berada pada paras bahaya atau menunjukkan trend menaik, termasuk Empangan Timah Tasoh (Perlis), Sungai Slim dan Sungai Bidor (Perak), Pintu Air Ijok (Selangor), Cheng U/S dan Sungai Siput (Melaka), Sungai Paka (Terengganu) serta Sungai Golok di Rantau Panjang (Kelantan).
Secara keseluruhan, paras air di Perlis, Perak, Selangor, Melaka, Pahang dan Terengganu berada pada tahap bahaya, manakala Johor, Kelantan dan Sarawak pula direkodkan pada paras amaran.
Walaupun cuaca semakin baik di banyak kawasan semalam, pihak berkuasa menasihatkan orang ramai kekal berwaspada kerana beberapa sungai utama masih berisiko untuk melimpah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








