Dua rakan sekerja maut nahas selepas majlis makan malam syarikat
KUALA LUMPUR – Kegembiraan dua rakan sekerja menghadiri majlis makan malam sebuah syarikat perbankan antarabangsa berakhir tragedi apabila kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar dalam kemalangan di Jalan Sungai Besi menghala ke Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 3.01 pagi itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kenderaan dinaiki terbakar sepenuhnya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asistan Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan melibatkan sebuah Honda City Hatchback berwarna kelabu yang dipandu lelaki tempatan berusia 29 tahun bersama penumpang wanita tempatan berusia 23 tahun.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang merupakan rakan sekerja itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke Ampang selepas menghadiri majlis makan malam syarikat.
“Ketika melalui satu selekoh di lokasi kejadian, pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan melanggar tembok tiang di bahagian kiri jalan.
“Impak pelanggaran menyebabkan kereta terbakar sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheras turut membantu operasi memadam kebakaran serta mengeluarkan mangsa dari kenderaan terbabit.
Katanya, pemandu dipercayai rentung manakala penumpang wanita mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mendapatkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








