Tukang cat maut digilis treler, polis buru pemandu
HULU SELANGOR – Seorang tukang cat kereta maut selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai terjatuh sebelum digilis sebuah treler di persimpangan lampu isyarat Sungai Choh, di sini petang semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5 petang itu, mangsa berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan dada.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan M Manimaran berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan berkenaan pada pukul 5.10 petang.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal sehala dengan sebuah treler dari arah Bukit Beruntung menghala ke Sungai Choh.
“Ketika tiba di persimpangan lampu isyarat Sungai Choh, penunggang motosikal dipercayai berada di bahagian tepi belakang sebelah kiri treler sebelum terjatuh sendiri.
“Mangsa kemudian digilis treler berkenaan tanpa disedari pemandunya yang mula bergerak selepas lampu isyarat bertukar hijau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu treler berkenaan dipercayai meneruskan perjalanan kerana tidak menyedari kemalangan yang berlaku, malah nombor pendaftaran kenderaan itu masih belum dikenal pasti.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat.
Sehubungan itu, polis sedang mengesan treler terbabit dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.
“Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohammadi Mat Abu@Ramli di talian 03-6064 1222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















