Surat kepada Perdana Menteri bukan tuntutan, tapi cadangan – Guan Eng
GEORGE TOWN – Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, beliau tidak menggunakan istilah “tuntutan” dalam surat bertarikh 8 Disember 2025 kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini berikutan laporan beberapa media yang menyebut surat lima muka surat itu sebagai “10 tuntutan”, sedangkan Guan Eng menegaskan istilah itu tidak wujud sama sekali dalam surat beliau.
Menurutnya, surat itu mengandungi sepuluh cadangan utama yang bertujuan menyelesaikan isu-isu penting bagi memulihkan keyakinan penyokong Pakatan Harapan (PH) dan rakyat Malaysia terhadap kerajaan persekutuan.
Beliau berkata, kandungan cadangan itu menumpukan kepada isu ekonomi serta peruntukan kerajaan persekutuan untuk kaum bukan Bumiputera, Sabah dan Sarawak yang berasa tidak mendapat layanan adil.
“Penggunaan istilah ‘tuntutan’ adalah amat provokatif dan berpotensi menimbulkan ketegangan antara pihak-pihak terlibat, sedangkan surat saya dihantar dengan penuh hormat,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Dalam surat itu, Guan Eng mencadangkan agar kerajaan memperuntukkan peruntukan khas 10 peratus bagi kaum bukan Bumiputera berbanding peruntukan untuk Bumiputera dan menyelesaikan segera tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
Beliau juga menekankan kepentingan kajian untuk mengecualikan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) daripada pelaksanaan e-invois serta menaikkan ambang hasil tahunan perniagaan kepada RM5 juta.
Guan Eng mencadangkan kerajaan meninjau semula atau membekukan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas perniagaan, serta menghentikan caruman mandatori KWSP sebanyak 2 peratus untuk pekerja asing bagi meringankan beban majikan.
Selain itu, beliau mencadangkan cukai dividen 2 peratus ke atas pendapatan melebihi RM100,000 hanya dikenakan kepada syarikat Bursa Malaysia.
Guan Eng juga menggesa kerajaan memperuntukkan RM20 bilion untuk pembayaran cukai tertunggak pada Januari 2026 serta memansuhkan penalti RM10,000 kepada majikan yang gagal memaklumkan kekosongan jawatan kepada Perkeso.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mewajibkan 50 peratus barangan keperluan diperoleh daripada pengeluar tempatan, mengenakan SST 10 peratus ke atas bijih besi import dan tempatan serta arang batu kok metalurgi, manakala SST ke atas sekerap keluli dimansuhkan.
Guan Eng turut berkata, tujuan surat itu adalah memberi cadangan membina, bukannya membuat tuntutan yang bersifat provokatif.
Beliau juga menggesa media agar bertanggungjawab dan membetulkan laporan yang tidak tepat bagi memastikan maklumat yang disebarkan adalah sahih dan benar, demi kepentingan rakyat dan keseimbangan pembangunan di seluruh negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








