KEMENTERIAN PERTAHANAN

Pelaksanaan SSPA bantu veteran ATM hadapi kos sara hidup

KUALA LUMPUR – Bilangan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berpendapatan isi rumah di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (GPK) Makanan menunjukkan penurunan ketara susulan pelaksanaan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) secara berfasa.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bilangan veteran yang berpendapatan rendah menurun lebih 80 peratus sejak SSPA dilaksanakan pada akhir tahun lalu.

“Melalui pelaksanaan Fasa I SSPA pada Disember 2024, bilangan veteran berpendapatan di bawah GPK Makanan menurun daripada 483 kepada 91 orang.

“Fasa II pula dijangka dilaksanakan pada Januari depan dengan peningkatan tujuh peratus, menjadikan jumlah keseluruhan pelarasan sebanyak 15 peratus,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.

Beliau berkata, veteran turut dibantu melalui pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM.

“Secara keseluruhan, SSPA membantu meringankan kos sara hidup veteran kerana skim gaji ini mengambil kira faktor inflasi dan peningkatan Indeks Harga Pengguna (IHP) dalam tempoh 10 tahun, terutamanya harga makanan dan minuman yang merupakan keperluan asas,” katanya lagi.

Mohamed Khaled menjawab soalan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) mengenai kemungkinan menyemak semula skim pencen veteran ATM supaya setara dengan kos sara hidup semasa, khususnya bagi veteran berpencen rendah di bawah RM2,000 sebulan.

Beliau berkata, kementerian masih belum bercadang untuk menyemak semula skim pencen kerana pelaksanaan SSPA belum selesai dan analisis impaknya masih dijalankan.

“Melalui SSPA, semua veteran berpencen layak mendapat pelarasan gaji akhir mengikut kategori masing-masing, iaitu 15 peratus bagi kumpulan pengurusan, profesional serta sokongan, manakala tujuh peratus bagi kumpulan pengurusan tertinggi.

“Pelarasan ini secara langsung meningkatkan kadar semasa pencen veteran ATM,” katanya lagi.

Tambahnya, Majlis Angkatan Tentera (MAT) dalam mesyuarat pada 28 Oktober 2024 bersetuju supaya skim gaji SSPA dilaksanakan menggunakan formula pencen sedia ada mengikut Peraturan-peraturan Angkatan Tentera Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-faedah Lain) 1982.
“Pelarasan ini melibatkan 144,096 veteran berpencen dan penerima pencen terbitan, dilaksanakan dalam dua fasa,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button