600 pelajar Palestin universiti awam dikecualikan yuran selama setahun – KPT
SEPANG – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan pengecualian bayaran yuran bagi tempoh setahun kepada lebih 600 pelajar Palestin yang sedang megikuti pengajian pelbagai peringkat di universiti awam berkuat kuasa serta-merta, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menurut Mohamed Khaled, selain universiti awam, pihak KPT juga sedang mengadakan perbincangan dengan universiti swasta bagi pengecualian bayaran yuran tersebut.
Kata beliau, bantuan tersebut adalah bagi membantu mengurangkan beban pelajar Palestin yang terkesan dengan perang yang berlaku di negara mereka sehingga ke hari ini.
Selain itu, Mohamed Khaled berkata, kerajaan juga akan memperuntukan bantuan sebanyak RM20 juta merangkumi elaun sara hidup bagi tempoh yang sama iaitu selama satu tahun.
Ditanya mengenai perincian pemberian bantuan tersebut, Khaled berkata, perkara tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil perhatian terhadap kesan perang yang berlaku di Palestin iaitu di Gaza dan Tebing Barat ketika ini.
“Kita juga sedar bahawa keadaan pembelajaran mereka terputus (terjejas) dan mereka mungkin tidak akan mendapat bantuan pembiayaan daripada keluarga, negara, penaja dan sebagainya.
“Kita sedang menimbangkan usaha-usaha untuk membantu mereka dalam masa setahun ini dan bagi univeristi awam (UA), kita bersedia untuk melonggarkan dan mengecualikan mereka daripada membayar yuran selama setahun serta kita juga sedang berunding dengan pihak institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk mengecualikan bayaran yuran selama satu tahun.
“Begitu juga kita sedang timbang untuk memberi mereka elaun bulanan selama satu tahun yang akan disumbangkan oleh pihak kerajaan yang akan melibatkan kos dalam RM20 juta maknanya pengecualian yuran dan pemberian elaun bulanan semua ini terpakai untuk setahun,”katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum Pendidikan Tinggi Global 2023 (GHEF2023) di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA di sini, hari ini.
Forum yang berlangsung dari 15 hingga 17 November 2023 itu melibatkan penyertaan hampir 1,000 perwakilan daripada 17 negara dalam membincangkan isu-isu yang dihadapi ekosistem pendidikan tinggi.
Mengulas lanjut, Khaled turut berharap agar peperangan yang sedang berlaku di Gaza dan Tebing Barat, Palestin, ketika ini dapat dihentikan, sekali gus mengakhiri penindasan dan keganasan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin oleh rejim Zionis.
“Kita doa supaya keadaan di Gaza dan Tebing barat pulih supaya tidak berlaku penerusan keganasan penganiayaan di sana dan kehidupan berjalan balik seperti sedia kala serta pelejar palestin dapat belajar tanpa sebarang gangguan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








