Zambry ingatkan semua pihak berpada-pada ulas isu kemasukan pelajar ke UA
PUTRAJAYA – Semua pihak diingatkan supaya tidak menjadikan isu tular membabitkan pelajar cemerlang yang gagal mendapat tempat dalam jurusan perakaunan di universiti awam sebagai polemik besar sehingga memberi kesan kepada pelajar berkenaan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, isu berkenaan tidak sepatutnya dimainkan secara berlebihan kerana ia hanya menambah tekanan terhadap pelajar tersebut, selain menimbulkan pelbagai reaksi di media sosial.
“Berpada-pada lah. Saya faham ada yang nak membangkitkan untuk menjual. Tapi dalam masa yang sama, kita kena fikirkan juga nasib pelajar berkenaan bila kita menyebut tentang isu ini.
“Akhirnya ianya akan membuka orang komen positif, komen negatif. Yang akan terkena kesan ini adalah calon yang berkenaan. Jadi kita simpati dengan dia.
“Dia sebagai pelajar yang menghadapi itu, kita sepatutnya mencari jalan bagaimana kita nak membantu dengan cara, mungkin dengan pelbagai cara yang lain,” katanya.
Baca juga : Wee Ka Siong digesa mohon maaf kepada KPT
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Karisma Antarabangsa di Putrajaya hari ini.
Terdahulu, Edward dari Pulau Pinang dilaporkan kecewa kerana tidak mendapat tempat melalui sistem UPU ke mana-mana universiti awam bagi jurusan perakaunan walaupun memperoleh keputusan penuh 4.0 CGPA, markah kokurikulum 9.9/10 serta merit keseluruhan 99.90 peratus.
Walau bagaimanapun, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) menjelaskan calon tersebut sebenarnya berjaya mendapat tawaran ke program Sarjana Muda Pengurusan Dengan Kepujian di sebuah universiti penyelidikan terkemuka yang merupakan pilihan kelimanya.
Walaupun memperoleh PNGK 4.00 dan merit 99.90 peratus, kedudukannya dalam permohonan program perakaunan berada di luar kapasiti yang ditawarkan universiti utama.
Sementara itu, Zambry menegaskan, dakwaan kononnya sistem kemasukan pelajar ke universiti awam rosak adalah tidak tepat kerana mekanisme berkenaan telah lama diguna pakai dan sentiasa diperbaiki dari semasa ke semasa.
“Untuk membuat tuduhan-tuduhan bahawa sistem ini rosak dan sebagainya kita sendiri tahu, orang yang bercakap tentang sistem rosak, dia pernah berada di situ,” katanya.
Zambry berkata, setiap tahun isu berhubung proses kemasukan ke universiti awam pasti timbul kerana jumlah permohonan yang tinggi berbanding kapasiti program ditawarkan.
Walau bagaimanapun, Zambry berkata, ruang rayuan sentiasa terbuka untuk mereka yang tidak mendapat pilihan kursus utama.
Jelas Zambry, persaingan untuk kursus tertentu sangat sengit kerana bukan sahaja pelajar STPM memperoleh keputusan cemerlang, malah ramai lepasan matrikulasi dan asasi juga mencatat pencapaian sama.
“Yang dikatakan STPM 4 flat, kita kena ingat. Yang dapat 4 flat itu juga daripada matrikulasi, asasi dan sebagainya yang diletakkan untuk membuat penilaian bersama,”katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







