Dakwaan masuk IPTA ‘pintu belakang’: KPT teliti tindakan undang-undang terhadap ADUN Jitra
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang meneliti dan mempertimbangkan tindakan perundangan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah susulan beberapa tuduhan yang disifatkan tidak berasas berhubung sistem kemasukan ke Universiti Awam.
KPT dalam kenyataan hari ini berkata, kementerian memandang serius dakwaan yang terus diulang oleh Dr Haim Hilman termasuk tuduhan kononnya Universiti Awam sedang ‘menjual tempat-tempat untuk anak-anak kita kepada orang ada duit’ serta dakwaan bahawa puluhan ribu pelajar memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) melalui ‘pintu belakang’.
Menurut KPT, tuduhan terbaharu itu dibuat menerusi rakaman video ucapan beliau yang disiarkan di Facebook sempena Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan pada 13 Jun lalu.
“Tuduhan seperti ini bukan sahaja sangat berat, malah berpotensi menjejaskan reputasi dan kredibiliti keseluruhan sistem pendidikan tinggi negara, termasuk Universiti Awam, pengurusan universiti, pegawai kerajaan serta ribuan pelajar yang mengikuti saluran kemasukan yang sah,” menurut kenyataan itu.
Kementerian menegaskan bahawa ini bukan kali pertama dakwaan seumpama itu dilemparkan oleh Dr Haim Hilman terhadap KPT.
Menurut KPT, pihaknya sentiasa terbuka menerima kritikan yang membina dan berasaskan fakta, namun sebarang tuduhan yang boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi pendidikan tinggi negara perlu disokong dengan bukti yang kukuh.
“Sehubungan itu, KPT sedang meneliti dan mempertimbangkan tindakan serta prosedur perundangan yang sewajarnya bagi mempertahankan integriti kementerian, Universiti Awam dan sistem pendidikan tinggi negara daripada fitnah serta tuduhan yang tidak berasas,” katanya.
KPT turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan membenarkan mana-mana individu atau pihak melemparkan tuduhan yang mencemarkan nama baik institusi pendidikan negara tanpa bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dibuat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















