Pulau Banggi dipilih lokasi strategi WOGOS
KUDAT – Kerajaan terus memperkukuh keselamatan dan pembangunan komuniti di kawasan terpencil apabila Pulau Banggi dijadikan lokasi pelaksanaan pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WOGOS).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kehadiran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di pulau tersebut memainkan peranan penting dalam memperkukuh aspek keselamatan penduduk.
“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan rakyat untuk menjalani kehidupan harian secara lebih terjamin, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi.
“Usaha ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 20,000 penduduk melalui peluang ekonomi, saling hubungan lebih baik serta peningkatan taraf hidup keseluruhan,” katanya ketika melakukan lawatan kerja rasmi ke kawasan Operasi PASIR dan menghadiri Program Semarak ATM bersama Komuniti Pulau Banggi, di sini hari ini.
Menurut beliau, inisiatif itu turut menggambarkan komitmen Kementerian Pertahanan dalam melaksanakan pendekatan WOGOS bagi memastikan setiap komuniti menikmati akses pembangunan yang setara tanpa mengira lokasi.

Ketibaan Mohamed Khaled disambut persembahan Tarian Perang dan kehadiran lebih 500 penduduk tempatan yang bersama-sama menyertai program berkenaan.
Program Semarak ATM kali ini merupakan acara kemuncak kepada lebih 50 aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun di sekitar Kudat termasuk gotong-royong, aktiviti kerohanian, kesihatan dan pendidikan yang dilaksanakan dengan kerjasama komuniti setempat dan ATM.
Turut hadir pada program tersebut ialah Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; veteran ATM serta wakil pelbagai agensi penguat kuasa seperti RELA, APM dan PDRM.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








